Rakyat Kedah Kian Sedar Siapa Yang Boleh Diharap, Tunai Tanggungjawab – Hisham Suhaily

LANGKAWI, 31 Julai – Ketua Wanita UMNO Langkawi, Hisham Suhaily Othman menyuarakan keyakinan bahawa semakin ramai rakyat kini merindui sentuhan dan khidmat wakil rakyat UMNO berikutan kegagalan wakil rakyat kerajaan negeri dalam menunaikan tanggungjawab di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid sebelum ini mengenai peningkatan sokongan terhadap UMNO di Kedah jelas membuktikan rakyat sudah mula menyedari kesilapan memilih wakil yang tidak turun padang serta tidak menjiwai masalah rakyat.

“Rakyat mula rindu wakil rakyat yang benar-benar bekerja. Ramai yang mengadu mesej tidak dibalas, permintaan bantuan kecil pun tidak dilayan. Bila tidak ada pilihan, mereka kembali cari UMNO walaupun UMNO bukan wakil rakyat di kawasan berkenaan,” katanya kepada UMNO Online.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini melontarkan keyakinannya bahawa rakyat Kedah kini semakin bersedia untuk melakukan perubahan kepimpinan negeri demi masa depan yang lebih stabil dan sejahtera.

Memetik laporan, beliau dilaporkan berkata selepas melalui tempoh yang penuh cabaran dan ketidaktentuan, rakyat Kedah kini semakin sedar keperluan memilih kepimpinan yang benar-benar mampu menjaga kebajikan serta hala tuju negeri.

Hisham Suhaily yang juga Exco Wanita UMNO seterusnya menambah parti berkenaan sentiasa mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat dan bantuan yang dihulurkan sekadar termampu memandangkan mereka (UMNO/BN) tidak membentuk kerajaan negeri.

“Bentuk bantuan yang dimohon kadangkala bukanlah besar, sebaliknya bantuan asas seperti menghantar anak ke universiti, membawa ibu bapa ke hospital, atau memohon sokongan program komuniti.

“UMNO sentiasa bantu apa yang termampu…walaupun kita tidak membentuk kerajaan negeri tetapi kerana kita faham penderitaan rakyat. Itu yang membezakan kita dengan mereka,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut menyelar dakwaan sesetangah pihak kononnya UMNO telah tergelincir daripada asas perjuangannya sejak menyertai Kerajaan Perpaduan.

“Itu tidak benar. Perjuangan UMNO kekal berpaksikan agama, bangsa, negara dan raja-raja. Jika prinsip ini dicabar, UMNO akan menjadi benteng pertama mempertahankannya.” Ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79