UMNO Semakin Pulih, Tiga ‘Wasilah’ Terus Jadi Panduan – Dr Zambry
BALIK PULAU, 27 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menzahirkan keyakinan bahawa UMNO kini kembali pulih dan bangkit dengan keyakinan baru selepas kejayaan pelaksanaan mesyuarat bahagian dan cawangan di seluruh negara yang mencatat kehadiran amat menggalakkan.
Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan bahawa ahli-ahli UMNO bersatu padu dalam usaha menggerakkan parti pelbagai peringkat selain membuat persiapan awal menghadapi pilihan raya yang akan datang.
“Alhamdulillah, semua bahagian berjaya laksanakan mesyuarat dengan jayanya, termasuk di peringkat cawangan. Ini petanda keyakinan ahli terhadap UMNO semakin pulih dan bersedia untuk bergerak ke hadapan,” katanya kepada UMNO Online.
Terdahulu beliau merasmikan Mesyuarat UMNO bahagian Balik Pulai di Dewan Sri Gemilang, MRSM Balik Pulau. Turut serta Ketua UMNO bahagian, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah dan pimpinan UMNO yang lain.
Dr Zambry seterusnya menambah fokus semasa hari ini tentunya tertumpu kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, dengan persiapan rapi sedang dilakukan oleh jentera negeri dan Barisan Nasional (BN) pusat.
Beliau turut memaklumkan bahawa hubungan antara pimpinan pusat dan negeri Sabah juga berjalan baik dan tersusun.
“Kita telah adakan beberapa siri perbincangan bersama pimpinan negeri. Kerjasama sangat baik. Ini penting untuk kita hadapi PRN Sabah secara terancang,” jelasnya.
Dalam masa sama, Dr Zambry yang juga Setiausaha Agung BN mengulangi peringatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkenaan tiga “wasilah” utama (jalan perjuangan) yang mesti dipegang oleh semua ahli UMNO.
“Pertamanya politik solusi. UMNO mesti terus menjadi parti yang menawarkan penyelesaian konkrit kepada masalah rakyat, bukan sekadar retorik politik. Keduanya politik legasi. Usaha membina dan meyakinkan generasi muda agar mereka faham dan percaya kepada perjuangan UMNO serta BN sebagai jalan terbaik untuk negara.
“Ketiganya politik moderasi. UMNO kekal dengan pendekatan sederhana dan inklusif, seiring dengan kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia. Ahli UMNO terlatih untuk turun ke bawah, menyelami masalah rakyat dan mencari penyelesaian sebenar. Ini kekuatan kita. Kita mesti terus kekal relevan kepada rakyat,” tambahnya. – UMNO Online