UMNO Yakin Rakyat Kedah Sedia Lakukan Perubahan Kepimpinan Negeri
ALOR SETAR, 26 Julai – UMNO yakin rakyat di Kedah bersedia untuk melakukan perubahan kepimpinan negeri demi masa depan yang lebih stabil kerana mereka dilihat semakin menyedari keperluan memilih pemimpin yang mampu menjaga kebajikan dan hala tuju negeri.
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata selepas melalui cabaran di negeri itu, kini sudah tiba masanya rakyat Kedah kembali memilih kepimpinan yang mampu berbuat demikian.
“Saya berharap ia akan berubah, bukan mudah untuk melakukan perubahan secara drastik tetapi tidak mustahil untuk kita berubah.
“Insya-Allah, Kedah akan kembali berada di dalam kepimpinan yang lebih baik dan boleh jaga rakyat sebenarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Jawatankuasa Pasukan Perancang Pelaksana Program (4P) dan Belia Luar Bandar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di sini malam tadi.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berharap rakyat Kedah akan berusaha memperjuangkan perubahan secara konsisten serta menyeluruh memandangkan peranan mereka adalah penting dalam memastikan perubahan pada masa depan dengan membuat pilihan bijak. – BERNAMA