UMNO Zahir Ucapan Hari Lahir Buat Najib, Kenang Jasa Dan Kepimpinan

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Para pemimpin UMNO tanpa mengira kedudukan pada hari ini telah menzahirkan ucapan ulang tahun buat bekas Perdana Menteri dan mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak menerusi hantaran di media sosial.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di laman Facebooknya menegaskan bahawa UMNO Negeri Pahang akan sentiasa berdiri teguh bersama Najib demi menegakkan keadilan.

“Selamat menyambut ulang tahun kelahiran kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak, bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang telah banyak menabur jasa kepada rakyat serta negara ini.

“Bagi pihak UMNO Negeri Pahang, kami akan terus berdiri teguh bersama Dato’ Sri Najib demi menegakkan keadilan dan mempertahankan maruah beliau.

“Semoga Allah SWT mengurniakan Datuk Seri Najib dengan kesihatan berpanjangan dan ketabahan kuat dalam menghadapi apa juga dugaan serta cabaran yang sedang beliau hadapi ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, nilai kepimpinan yang ditunjukkan dan jasa Najib ketika mentadbir negara tidak akan pernah dilupakan rakyat.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Melaka, saya merakamkan ucapan selamat hari lahir buat Datuk Seri Najib yang disanjung dan dikenang atas khidmat baktinya kepada negara. Moga Allah SWT terus melimpahkan kesihatan yang baik, ketabahan hati, ketenangan jiwa dan kekuatan dalam menempuh setiap cabaran. Semoga setiap langkah dan perjuangan beliau sentiasa dalam perlindungan dan rahmat-Nya.

“Sebagai individu yang pernah bekerja secara langsung dengan beliau atas kapasiti Setiausaha Kerja UMNO dahulu, saya amat mengenali beliau sebagai seorang tokoh yang cukup ‘gentleman’, merendah diri, prihatin dan sentiasa mengutamakan rakyat. Nilai kepimpinan yang ditunjukkan beliau akan terus terpahat dalam sanubari orang ramai.

“Jasa dan sumbangan Datuk Seri Najib kepada tanah air tidak akan dilupakan. Semoga segala pengorbanan dicurahkan menjadi amal jariah yang berkekalan. Rakyat terus mendoakan kesejahteraan dan kekuatan buat Datuk Seri Najib. Selamat menyambut ulang tahun kelahiran Bossku,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Najib bukan sekadar pemimpin tetapi simbol kepada semangat juang dan ketabahan dalam menghadapi cabaran.

“Selamat Ulang Tahun Kelahiran ke-72 Datuk Seri Najib Razak. Tanggal istimewa ini menjadi detik sangat bermakna buat seluruh rakyat Malaysia yang tidak pernah melupakan jasa dan bakti Datuk Seri Najib dalam membina negara bangsa yang progresif, sejahtera serta dihormati di mata dunia.

“Di bawah kepimpinan Datuk Seri, pelbagai dasar dan inisiatif rakyat seperti BR1M, Klinik 1Malaysia, transformasi ekonomi, pembangunan infrastruktur luar bandar dan pelaburan asing berskala besar telah meninggalkan kesan mendalam dalam kehidupan jutaan rakyat, khususnya golongan bawahan dan pertengahan yang amat memerlukan perhatian dan pembelaan.

“Datuk Seri bukan hanya pemimpin, tetapi simbol semangat juang dan ketabahan dalam menghadapi ujian serta cabaran. Meskipun diuji dengan pelbagai dugaan, keteguhan hati dan keyakinan Datuk Seri tetap menjadi inspirasi kepada ramai.

“Sempena ulang tahun kelahiran yang ke-72 ini, warga Kepala Batas mendoakan agar Datuk Seri terus dikurniakan kesihatan yang baik, kekuatan fizikal dan rohani, serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79