UMNO Bukan Sekadar Parti Politik, Tapi Gerakan Perjuangan Bangsa – Reezal Merican
KUALA LUMPUR, 23 Julai – UMNO bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi merupakan gerakan perjuangan bangsa yang telah membina negara, membawa kemajuan dan menjaga kestabilan sejak negara mencapai kemerdekaan.
Demikian penegasan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, yang berlangsung pada Ahad.
“UMNO telah melalui pelbagai fasa dalam sejarah perjuangannya, dan ia kekal sebagai tunjang kekuatan orang Melayu dan penyumbang utama kepada kestabilan negara,” katanya sambil menyeru semua jentera parti agar terus memperkukuh saf perjuangan dalam mendepani cabaran politik semasa.
Reezal Merican turut menekankan bahawa UMNO hari ini berdepan cabaran besar, termasuk perubahan landskap politik, persepsi rakyat yang semakin mencabar serta usaha mengembalikan sokongan generasi muda.
Namun, beliau tetap optimis bahawa kekuatan akar umbi UMNO khususnya Wanita, sayap Pemuda dan Puteri mampu mengembalikan kegemilangan parti.
“Saya yakin, selagi Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO kekal teguh, selagi akar umbi bersatu, UMNO akan terus bangkit. Kita bukan sahaja sebuah parti tapi kita adalah harapan masa depan,” tegasnya.
Ujarnya, mesyuarat perwakilan tersebut menjadi medan memperteguh tekad perjuangan dalam kalangan ahli UMNO, sekali gus menjadi simbol kebangkitan parti sebagai wadah utama memperjuangkan nasib rakyat dan memastikan kestabilan negara terus terpelihara.
“Bangkit semula, susun saf perjuangan, rebut semula keyakinan rakyat. Hidup UMNO! Bersatu, Bersetia, Berkhidmat!”
Majlis turut diserikan dengan kehadiran pimpinan UMNO pelbagai peringkat antaranya Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar; Ketua UMNO Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim; serta Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segambut merangkap wakil Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Kamarudin Hassan.
Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Adnan Seman; Naib Ketua UMNO Bahagian, Nor Azman Sallehuddin; Ketua Wanita UMNO Bahagian merangkap Setiausaha Kerja Wanita UMNO Malaysia, Zauyah Zainuddin; Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Mohd Zamri Zainal Abidin; Ketua Puteri UMNO Bahagian merangkap Ketua Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Rose Amalina Rosemin; serta Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Roslan Saidin. – UMNO Online