PRN Johor: Pembahagian Kerusi Hak Kepimpinan Tertinggi Parti – Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Keputusan pembahagian kerusi adalah hak kepimpinan tertinggi parti dan gabungan, kata Ketua Penerangan UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Abdul Aziz Sapian.

Ini kerana katanya, UMNO Bahagian Iskandar Puteri mengambil maklum tentang kesediaan Parti Amanah Negara (PAN) untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar dan Skudai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

“UMNO Bahagian Iskandar Puteri mengambil maklum kenyataan Ketua PAN Kawasan Iskandar Puteri, Dr Dzulkefly Ahmad, berhubung kesediaan mereka untuk bertanding di dua kerusi DUN iaitu Kota Iskandar dan Skudai pada PRN Johor akan datang.

“UMNO menghormati hak mana-mana parti politik untuk bertanding dan menentukan calon mereka di mana-mana kerusi pilihan raya. Namun bagi UMNO, penentuan calon dan strategi bertanding sentiasa berteraskan keutamaan rakyat, kekuatan akar umbi dan keperluan memastikan kestabilan politik demi kelangsungan pembangunan negeri Johor,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelasnya, UMNO Bahagian Iskandar Puteri tidak gentar dengan sebarang percaturan politik dan akan kekal komited memperkukuhkan kestabilan politik di Negeri Johor.

“UMNO Bahagian Iskandar Puteri ingin menegaskan bahawa kami tidak gentar dengan sebarang percaturan politik PAN mahupun rakan mereka dalam Pakatan Harapan (PH). Apa jua bentuk pertandingan sama ada dua atau tiga penjuru, akan kami hadapi dengan penuh keyakinan.

“UMNO kekal komited memperkukuh kestabilan politik Johor, khususnya di kawasan strategik Kota Iskandar, agar kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat terus terjamin.

“Rundingan keputusan pembahagian kerusi adalah hak kepimpinan tertinggi parti dan gabungan, bukan ditentukan oleh kehendak mana-mana pihak di peringkat kawasan,” katanya lagi.

Ujarnya, UMNO Bahagian Iskandar Puteri akan terus memperkukuh akar umbi dan memperhebatkan gerak kerja untuk memastikan kawasan tersebut kekal di bawah kepimpinan yang berwibawa.

“Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di DUN Kota Iskandar yang diwakili UMNO akan terus membawa suara rakyat sehingga tamat penggal, tanpa terganggu dengan retorik politik PAN.

“Jika PAN memilih untuk memecah undi sesama mereka, UMNO melihat ini sebagai bukti kelemahan PH yang gagal menguruskan persefahaman dalaman. Rakyat akan menilai siapa yang benar-benar menjaga kepentingan mereka dan siapa yang sekadar mengejar kuasa.

“UMNO Bahagian Iskandar Puteri akan terus memperkukuh kekuatan akar umbi, memperhebatkan gerak kerja dan memastikan kawasan ini kekal di bawah kepimpinan yang berwibawa, stabil serta sentiasa berkhidmat demi rakyat, bukan sekadar slogan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79