Jangan Gadai Negeri Sabah Demi Kepentingan Peribadi – Suhaimi Nasir
KOTA KINABALU, 23 Julai – Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir memberi amaran keras kepada kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar tidak terus menggadaikan kepentingan dan aset negeri demi kepentingan politik sempit dan peribadi.
Menurut Ahli Parlimen Libaran itu, amanah rakyat adalah prinsip tertinggi dalam sistem demokrasi, namun malangnya ia kini dikhianati secara terang-terangan oleh kerakusan pentadbiran hari ini.
“Isu pemberian lesen perlombongan mineral yang dijalankan secara senyap dan tidak telus seolah-olah harta negeri ini adalah warisan peribadi, bukan milik rakyat Sabah. Malah, pengurusan sektor ini langsung tidak melalui proses libat urus awam, jauh sekali untuk mendapat pandangan rakyat,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Lebih mengecewakan, kata beliau, GRS cuba menyeleweng fakta sejarah dengan mendakwa pembangunan sektor minyak dan gas negeri hanya bermula selepas penubuhan SMJ Energy (SMJE) pada 2021.
“Hakikatnya, projek mega Sabah International Oil & Gas Project (SIOGP) bernilai RM54 bilion telah pun dilancarkan pada 2014 di bawah pentadbiran Barisan Nasional. Jangan cuba menipu rakyat dan menafikan usaha terdahulu,” tegasnya.
Suhaimi turut mempersoalkan pelaburan berbillion ringgit yang sering diumumkan oleh kerajaan negeri, namun hasil dan manfaatnya tidak dirasai oleh majoriti rakyat Sabah.
“Berapa banyak pelaburan yang benar-benar masuk ke syarikat anak jati Sabah? Siapa yang untung? Rakyat atau kroni? Ketika rakyat mengeluh soal air, jalan rosak dan bekalan elektrik terputus, kerajaan seolah-olah membisu. Tetapi bila melibatkan lesen mineral, kerajaan tiba-tiba ‘cekap’ dan ‘tergesa-gesa’ dalam keadaan senyap,” tambahnya.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai bukti jelas krisis kepimpinan yang semakin meruncing di Sabah dan menyeru agar rakyat membuka mata terhadap apa yang sedang berlaku.
“Sabah bukan tanah pusaka mana-mana politikus. Ini milik rakyat. Jika tiada apa yang mahu disorokkan, mengapa pengurusan sumber negeri ini dijalankan seperti pencuri malam?”
Justeru, beliau menggesa agar semua pihak yang terlibat tampil memberikan penjelasan kepada rakyat dan menghentikan segera sebarang urus niaga yang meragukan melibatkan sumber asli negeri ini.
“Ini bukan soal politik semata-mata. Ini soal maruah dan masa depan Sabah. Saya ingin memberikan peringatan keras – jangan sesekali gadai Sabah demi kepentingan peribadi,” tegasnya lagi. – UMNO Online