Kerajaan Negeri Perak Tiada Hala Tuju? Itu Zaman MB Bersatu – Sollehin

BUKIT GANTANG, 26 Julai – Ketua UMNO Bahagian Buki Gantang Mohammad Sollehin Mohamad Tajie membidas kenyataan Srikandi Bersatu Perak yang berkata kerajaan negeri sekarang ini tiada hala tuju.

Tegas Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu, seharusnya sayap parti Bersatu itu membaca laporan kewangan negeri Perak dan melihat pelbagai pelan yang telah dilaksanakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Masa zaman ‘Peja’ (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) jadi Menteri Besar langsung tiada hala tuju, tiada pelan Perak Sejahtera, ekonomi tidak berkembang baik, tiada program-program dan pelan ekonomi yang lebih jelas.

“Datuk Seri Saarani bukan sahaja Perak Sejahtera. Ada LuMIC (Bandar Perindustrian Maritim Lumut), KIGIP (Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian), halal (Taman Industri Halal Perak) dan sebagainya yang dibuat di bawah Menteri Besar Perak,” kata Sollehin yang juga Pegawai Khas Menteri Besar Perak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Trong kepada UMNO Online.

Sollehin ditemui baru-baru ini selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang yang dirasmikan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki,

Mengulas mengenai inisiatif kerajaan negeri yang melantik Pegawai Khas di beberapa kawasan DUN, Sollehin berkata ia satu usaha yang amat baik sebagai perantara antara rakyat dan kerajaan terutama dalam penyampaian maklumat.

“Bagi saya paling penting ialah maklumat. Kadang-kadang rakyat tidak dapat maklumat yang betul, mereka menjadikan TikTok sebagai sumber maklumat. Jika maklumat tidak betul, maka jawapannya tidak betullah,” ujarnya.

Justeru itu, katanya UMNO perlu lebih ke hadapan terutama menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI) sesuai dengan kemajuan dalam penyampaian maklumat.

“Hari ini UMNO perlu lebih ke depan dengan perkembangan teknologi AI. Orang jadikan ChatGPT, DeepSeek sebagai info. Kalau nak tahu apa-apa, dia tanya AI.

“UMNO perlu ambil penekanan supaya bila generasi baru menggunakan teknologi AI sebagai rujukan. UMNO harus ke depan untuk menguasai walau apa kaedah sekali pun. Kalau tengok di TikTok pun orang dah guna video AI.

“Pendekatan UMNO perlu segar, perlu dilihat menguasai semua media ini untuk menghadapi pilihan raya. Saya yakin dan percaya kalau kita kalau nak jumpa semua pengundi agak sukar, maka media sosiallah antara ruang untuk sampaikan maklumat,” katanya.

Ulasnya lagi, terbukti rakyat masih bergantung harap kepada UMNO walaupun di beberapa kawasan parti kalah dalam pilihan raya.

Saya nak kata orang benci UMNO… tak. Sebab kalau orang benci UMNO, dia tak cari UMNO selepas pilihan raya. Walaupun kita kalah orang masih cari kita… yang tak sokong kita pun masih cari kita.

“Hari ini padangnya sama tiada orang boleh janjikan bulan bintang dan semua orang berpaksikan kepada rasional yang lebih jelas pada pilihan raya akan datang. Janji-janji juga lebih relevan, tiada lagi janji harga minyak dan (hapus) PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional). Hanya (janji-janji) sekitar membangunkan negara.

“Saya yakin UMNO ada kelebihan dengan barisan menteri yang baik, orang akui dan negeri Perak sendiri pun buat kali pertama bajet surplus di bawah kepimpinan UMNO/Barisan Nasional,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79