Nasihat Saya Kepada Pas, Tinggalkan Sahaja PN – Gulam Muszaffar

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim menasihatkan Pas untuk meninggalkan Perikatan Nasional (PN) yang sememangnya menghadapi masalah di bawah pentadbiran Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Ini kerana katanya, perjumpaan Muhyiddin bersama 11 Ketua Parti Blok Pembangkang yang diadakan pasa dua hari lalu dilihat tidak dihadiri oleh para pemimpin Pas.

“Dua hari lepas Pengerusi PN, telah mengadakan perjumpaan dengan 11 Ketua Parti Blok Pembangkang untuk tubuhkan barisan rentas parti tanpa kehadiran pemimpin Pas. Pelik bin ajaib? Apa yang sedang berlaku?

“Apabila Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi sendiri mengesahkan tiada jemputan untuk pertemuan semalam… Ketua Penerangan PPBM, Tun Faisal menafikan. Kata ada jemputan tetapi mereka tidak hadir. Mana satu yang betul?

“Masakan Pas sebagai parti tunjang komponen PN tidak dijemput? Lebih mengejutkan apabila ada dua orang pemimpin India yang dulu pernah mempertikaikan ketuanan Melayu dan kesucian Islam. Pertama, Dr P Ramasany bekas pemimpin Dap yang sangat kuat menentang penceramah Dr Zakir Naik. Kedua, P Waytha Moorthy seorang bekas pemimpin Hindraf dan yang pro serta kuat memperjuangkan ratifikasi ICERD dulu,” katanya menerusi satu kenyataan.

Ujarnya, Muhyiddin kini terdesak dan cuba untuk menyucikan kedua-dua pemimpin India tersebut.

“Nampaknya Muhyiddin amat terdesak dan sedang cuba menyucikan kedua-dua pemimpin India ini tanpa kehadiran pemimpin Pas yang sebelum ini kuat menolak dan pernah melabelkan mereka berdua ini ekstrem. Mungkin kerana itu Pas tidak dijemput. Wallahualam.

“Saya rasa Pas sepatutnya berasa amat lega jika tidak dijemput kerana kesemua 11 parti yang bertemu dengan Muhyiddin tidak berupaya memberi nilai tambah kepada PN dan saya sendiri percaya Pas mampu bergerak solo tanpa mereka semua termasuk PPBM.

“Buktinya Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis… kewujudan 11 parti tersebut tidak relevan dan diterima pun di keempat-keempat negeri pentadbiran Pas ini. Malah nama-nama parti ini ada yang tak pernah rakyat dengar pun. Mungkin tubuh parti politik untuk syok sendiri sebab nak jadi Presiden,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berpandangan bahawa Pas sudah boleh membuat perancangan untuk bertanding di kesemua kerusi PPBM pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Akhir kata, nasihat saya kepada Pas tinggalkan sahaja PN yang sememangnya mempunyai masalah besar dibawah teraju Muhyiddin. Pejabat sudah ditutup, gaji staf pun tidak mampu bayar dan jawatan Bendahari Agung sehingga kini masih kosong.

“Pada PRU ke-16 nanti Pas sudah boleh buat kira-kira untuk bertanding disemua kerusi PPBM. Baru Pas lebih dominan dan kuat dalam kuasa politik negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79