‘Cah Keting’ Musnahkan Parti… Kukuhkan Perpaduan

TAIPING, 17 Julai – Ketua UMNO Bahagian Taiping, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie menggesa seluruh ahli parti agar kembali menghayati semangat perjuangan UMNO yang sebenar.

Menurut beliau, perpecahan dalaman dan sikap ‘cah keting’ harus dihentikan demi memastikan kekuatan parti dapat diperkukuh semula.

“Marilah sama-sama menghayati semula perjuangan dan asasnya adalah perpaduan. Janganlah kita bergaduh sesama sendiri, ‘cah keting’, jangan menjadikan kawan sebagai lawan kita kerana yang berada di luar adalah lawan sebenar.

“Percayalah… teruskan perjuangan agama, bangsa dan tanah air, teruskan ukhuwah. Marilah sama merapatkan barisan dan meneruskan perjuangan ini. Jadilah orang yang ingin berubah, terus berkhidmat secara rela. Kita berjuang dengan tabah dan semangat UMNO terus menyala. Marilah sama-sama berfikir secara nasional, berpijak pada bumi yang nyata dan jangan ikut emosi.

“Kepimpinan parti amat mengerti dan beri kepercayaan pada pemimpin walaupun diasak bertubi-tubi namun mereka masih mempertahankan UMNO. Berilah kepercayaan pada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberi kembali nafas serta mempertahankan parti ini,” katanya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Taiping baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Exco-exco Wanita UMNO serta kepimpinan empat peringkat.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan UMNO kini berada dalam satu fasa politik baharu yang menyaksikan perubahan landskap politik tanah air sekali gus pendekatan yang realistik dan matang dalam mendepani cabaran masa kini.

“Politik baharu ini telah berubah kerana dalam politik ‘nothing is impossible’ dan tidak ada kawan selama-lamanya dan tidak ada musuh selama-lamanya.

“Selepas kalah pada pilihan raya lalu, seluruh geosistem telah berubah kerana geopolitik berbeza yang ini amat berlainan dengan suasana UMNO/Barisan Nasional dahulu. Kestabilan politik negara ini tidak menentu tetapi kita berubah mengikut situasi semasa,” katanya.

Beliau dalam masa yang sama tidak menafikan yang UMNO juga bukan sempurna dan juga ada melakukan kesalahan, tetapi berani untuk berubah.

“Apabila UMNO tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14, ahli parti baru sedar siapa kawan dan siapa lawan, dan kita tetap teruskan perjuangan,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79