Titah Adendum Najib Wajar Dilaksana, Tolak Dakwaan Layanan Istimewa

BATU, 14 Julai – Pemuda UMNO Bahagian Batu menggesa agar Titah Adendum yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah dilaksanakan segera tanpa sebarang alasan atau dolak-dalik daripada pihak berkuasa.

Gesaan itu dibuat susulan pengesahan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai kewujudan dokumen berkenaan dalam prosiding Mahkamah Persekutuan baru-baru ini, yang sekali gus mengesahkan bahawa titah berkenaan benar-benar wujud meskipun sebelum ini dinafikan oleh pelbagai pihak.

 

Menurut Ketua Pemuda UMNO Bahagian Batu, Mohd Zulfadli Amiruddin, sebarang kelewatan atau keengganan melaksanakan titah itu merupakan satu bentuk penderhakaan serta penghinaan terhadap institusi Raja yang menjadi tiang seri Perlembagaan negara.

Beliau turut menolak kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, yang menyifatkan cadangan agar Najib menjalani hukuman secara tahanan rumah sebagai tidak munasabah.

Kenyataan itu menurutnya, perlu ditolak dengan tegas kerana ia mencabar prinsip keadilan dan mewujudkan persepsi seolah-olah layanan istimewa diberikan kepada tokoh politik berpengaruh.

“Ini bukan soal layanan istimewa, tetapi soal melaksanakan titah rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong yang telah diperakui kewujudannya di mahkamah. Undang-undang mesti dihormati dan dilaksanakan dengan adil, bukan berdasarkan sentimen politik,” katanya.

Pemuda UMNO Bahagian Batu menyatakan pendirian tegas bahawa titah diraja bukan untuk diperdebatkan secara politik, sebaliknya wajib dilaksana sebagai sebahagian daripada sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi asas negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79