Ahmad Zahid Mohon Maaf, Akui Terkhilaf

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf secara terbuka susulan tularnya sebuah video yang memaparkan beliau mengungkapkan satu perumpamaan tentang malaikat dalam ucapannya baru-baru ini.

Menurut Ahmad Zahid, kenyataan itu dibuat dalam suasana penuh emosi bagi menggambarkan tekanan dan cabaran yang dihadapinya selaku pemimpin utama parti, namun mengakui perbandingan tersebut boleh mengundang kekeliruan dan salah tafsir.

“Sebagai seorang Muslim dan pemimpin parti yang menjunjung tinggi nilai Islam serta tradisi keilmuan, saya dengan rendah hati memohon ampun kepada Allah dan memohon maaf kepada semua atas keterlanjuran lafaz kata-kata ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, beliau menerima segala teguran dengan hati terbuka dan percaya bahawa keikhlasan untuk menginsafi dan memperbaiki diri adalah sebahagian daripada nilai penting seorang pemimpin.

“Mudah-mudahan Allah SWT membimbing setiap langkah dan tutur kita semua agar sentiasa berada dalam adab yang mulia, terpelihara akidah, dan berpaut teguh pada kebenaran yang hakiki,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79