Kerajaan Perpaduan: Sokongan Ahli, Akar Umbi Semakin Kembali Kepada UMNO – Saarani

GOPENG, 8 Julai – Sokongan ahli dan akar umbi UMNO dilihat semakin kembali kepada parti kerana mereka mula memahami bagaimana dan mengapa Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu.

Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, UMNO memerlukan kuasa untuk meneruskan agendanya dalam membantu rakyat.

“Kita sudah melalui waktu-waktu yang susah. Kita sudah merasai perit getir apabila kita menjadi pembangkang. Sekarang, Allah berikan kepada kita kedudukan dan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Presiden kita.

“Apabila kita ada kuasa, kita boleh tolong rakyat. Kalau ada orang Pas cakap UMNO gila kuasa, jawab dengan lidah yang fasih ‘yes of course’. Kalau ditanya kepada Pas, mereka nak kuasa ataupun tidak? Kalau tidak mahu, jangan bertanding pilihan raya. Biar UMNO sahaja yang bertanding.

“Setiap kali pilihan raya mereka berceramah di merata pelusuk bersama PPBM mengatakan UMNO gila kuasa. Memanglah dalam politik kita nak kuasa. Siapa parti politik yang masuk bertanding tidak mahukan kuasa?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gopeng, di sini, pada Ahad.

Ujarnya, setelah penerangan berkenaan isu UMDap dilakukan di setiap peringkat, ahli dan akar umbi semakin memberikan keyakinan semula kepada UMNO.

“Dari segi sokongan ahli UMNO yang dahulunya ada ‘malu alah’ sikit… tetapi sekarang sudah kembali, sebab mereka faham mengapa akhirnya kita menubuhkan Kerajaan Perpaduan. Peringkat awal dahulu, apabila sebut UMDap, mereka malu.

“Saya terpaksa turun padang di beberapa cawangan dan bahagian, beritahu mereka bahawa sebelum adanya UMDap, adanya PasDap. Selepas itu, adanya ‘BerseDap’,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa seluruh jentera parti perlu bekerja keras untuk mengembalikan sokongan orang Melayu terhadap UMNO dan menangkis sentimen dimainkan oleh pihak lawan.

“Kerja kita sekarang bukanlah setakat nak mengembalikan sokongan ahli terhadap UMNO, tapi nak menggamit kembali sokongan pengundi-pengundi bukan ahli. Orang Melayu ramai lagi yang bukan ahli UMNO. Mereka ini perlu diyakinkan untuk kembali memberi sokongan kepada UMNO.

“Orang Pas dan PPBM bercakap di merata tempat kononnya Kerajaan Perpaduan ini menyebabkan bangsa Melayu dan agama Islam terancam. Jangan terikut-ikut dengan rentak ataupun naratif hasutan mereka ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah hadir untuk merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Gopeng pada Ahad.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Gopeng merangkap Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Hang Tuah Din dan barisan kepimpinan bahagian empat peringkat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79