Lawatan Berimpak Tinggi Perkukuh Misi Melaka Sebagai Pusat Pelancongan Air

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Melaka dalam satu lawatan kerja berimpak tinggi ke Venice, Itali, sebagai langkah strategik memperkukuh misi Melaka menjadi pusat pelancongan air lestari menjelang sambutan World Tourism Day dan World Tourism Conference 2025.

Ujarnya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya, lawatan rasmi ini turut disertai oleh wakil Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), serta disambut mesra oleh Timbalan Datuk Bandar Venice, Simone Venturini bersama delegasi rasmi Majlis Bandaraya Venice.

“Lawatan ini membuka peluang strategik kepada Melaka, khususnya Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), untuk menimba pengetahuan, meneroka teknologi pengurusan laluan air serta berkongsi amalan terbaik dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.

“Lebih daripada sekadar lawatan kerja, inisiatif ini adalah usaha langsung untuk mengangkat semula kegemilangan Sungai Melaka sebagai nadi pelancongan negeri yang suatu ketika dahulu diberi jolokan “Venice of the East” (Venice di Sebelah Timur),” katanya.

Delegasi Melaka turut meneliti kejayaan sistem pengangkutan air Venice seperti gondola, teksi air, bas air dan bot kecemasan yang beroperasi dengan kecekapan tinggi dan memfokuskan kepada pengalaman pelancong yang selesa serta mesra alam.

Beliau menegaskan bahawa segala pengetahuan dan amalan terbaik yang diperoleh akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan perancangan strategik bagi melonjakkan industri pelancongan air Melaka ke tahap lebih tinggi.

“Insya-Allah, segala yang dipelajari akan diterjemahkan ke dalam tindakan demi memastikan Melaka terus bergerak ke hadapan, menjadi destinasi pelancongan air bertaraf dunia yang membanggakan Malaysia.

“Dari tebing Sungai Melaka ke terusan-terusan di Venice, semoga persahabatan ini terus mengalir kukuh dan memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Rom juga memainkan peranan penting dalam menjayakan misi ini melalui sokongan diplomatik dan logistik. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79