Jentera Parti Diseru Terus Kukuhkan Gerak Kerja Di Akar Umbi

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyeru seluruh jentera Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO khususnya di Tanah Merah agar terus memperkukuh gerak kerja di akar umbi.

Di samping itu, Dr Noraini juga berpesan kepada mereka agar sentiasa berpegang kepada semangat bekerja bersama demi memastikan kejayaan UMNO dalam menawan kembali Parlimen Tanah Merah pada pilihan raya akan datang.

“Meskipun cabaran politik masa kini semakin mencabar, UMNO tidak pernah hilang kekuatan untuk bangkit dan terus memperjuangkan nasib rakyat dengan penuh dedikasi,” kata Dr Noraini dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Wanita UMNO Malaysia.

Terdahulu, Dr Noraini telah merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Tanah Merah pada Jumaat.

Dalam kenyataan itu juga, Dr Noraini berharap agar UMNO Tanah Merah terus memperkukuhkan jaringan akar umbi, mendengar suara rakyat dan menawarkan penyelesaian terbaik agar kepercayaan rakyat dapat dikembalikan kepada parti keramat ini.

Majlis tersebut yang diadakan di Command Centre Tanah Merah di Tanah Merah, Kelantan telah menghimpunkan lebih 1,000 ahli UMNO dari pelbagai peringkat.

Ia dimulakan dengan ucapan aluan daripada Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanah Merah Noor Azizah Abdul Halim, selaku wakil sayap-sayap diikuti Ketua UMNO Bahagian Datuk Wan Rakemi Wan Zahari, yang menekankan pentingnya perpaduan dan usaha berterusan untuk memantapkan parti di peringkat bahagian.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Jeli Datuk Mohd Adhan Kechik dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai Datuk Mohamed Zulkepli Omar.

Hadir sama Ketua Wanita UMNO Negeri Kelantan Nor Wahida Patuan dan barisan Ketua UMNO Wanita Bahagian-bahagian dalam negeri. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79