Anak Muda Banyak Idea Segar, UMNO/BN Dengar Suara Mereka – Dr Anil Sandhu

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Bendahari Pemuda UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Dr Anil Sandhu menyarankan agar barisan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dari peringkat cawangan, bahagian hingga ke negeri agar lebih proaktif dalam mendekati golongan muda, terutamanya pengundi baharu berusia 18 tahun ke atas.

Menurutnya, anak muda masa kini mempunyai pelbagai idea segar dan sedang dalam proses pembelajaran tentang kehidupan serta politik negara.

“Saya harap kepimpinan UMNO/BN dari peringkat cawangan, bahagian dan negeri haruslah mendekati anak-anak muda dan cuba bertanya apakah yang mereka mahu. Mereka sebenarnya ‘fresh, many ideas and learning’ dalam kehidupan mereka.

“Ramai pengundi berumur 18 tahun yang belum bekerja dan belum tahu apa matlamat hidup mereka. Maka UMNO/BN harus ‘approach’ mereka. Saya percaya apabila kita mendekati mereka dan memberi idea serta input positif mereka akan memahami dan mengikuti mana yang betul.

“Ramai dalam kalangan pengundi muda masih belum memasuki alam pekerjaan dan mungkin belum jelas tentang hala tuju hidup mereka. Ia menjadi tanggungjawab dan keprihatinan parti untuk mendekati golongan ini dan memberi panduan yang betul,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, inilah keterbukaan UMNO/BN dalam mendengar suara anak muda serta memberi ruang untuk mereka menyumbang serta memastikan parti terus kekal relevan dalam landskap politik semasa.

Mengulas mengenai persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Dr Anil menegaskan bahawa keutamaan harus diberikan kepada calon yang benar-benar mampu membawa perubahan serta memenuhi kehendak rakyat.

“Kita mahukan pemimpin yang terus berjuang. Kita harus mengambil satu pendekatan pilih calon yang belum ada kerusi dan boleh membuat sesuatu pada daerah… itulah calonnya. Parti hanya lambang, yang penting calon itu dapat melaksanakan kehendak rakyat.

“Atas kerjasama dengan Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah, Sufian Abdul Karim dan semua kepimpinan Pemuda UMNO bahagian-bahagian, kami mempunyai impian bahawa UMNO/BN akan dapat memerintah Sabah kembali.

“UMNO/BN kini lebih matang dan bersedia untuk bangkit semula dengan menawarkan kepimpinan yang bersih, dinamik dan dekat dengan rakyat, sejajar dengan aspirasi generasi muda dan kehendak semasa,” jelasnya.

Dr Anil Sandhu yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Lahad Datu berkata UMNO/BN tetap menjadi tunjang kepada pembangunan yang berlaku di negeri Sabah, meskipun berdepan pelbagai cabaran politik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Pembangunan yang ada di Sabah adalah hasil titik peluh, idea, perancangan dari perjuangan pemimpin-pemimpin UMNO/BN dan ia tidak boleh dinafikan. Walaupun ada segelintir yang tidak mahu mengakuinya bahwa parti ini banyak membawa pembangunan di Sabah, dan itu adalah hak mereka, namun kita tahu rakyat bijak menilai.

“Saya percaya sekiranya UMNO/BN kekal selari dengan kerajaan pusat sudah pasti rakyat Sabah akan dapat lebih banyak manfaat khususnya dalam memastikan pembangunan yang mampan dan menyeluruh,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79