Alhamdulillah… Inilah Kekuatan UMNO Yang Berpaksikan Akar Umbi

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Tengku Zuhri Tengku Abdul Aziz melahirkan rasa syukur dan mengucapkan tahniah kepada seluruh cawangan di kawasan berkenaan yang telah berjaya menyelesaikan mesyuarat masing-masing.

Menerusi perkongsian di Facebook beliau, Tengku Zuhri menyifatkan kelancaran mesyuarat peringkat akar umbi mencerminkan semangat yang tidak pernah pudar ahli parti.

“Alhamdulillah setelah beberapa minggu, semalam UMNO Lembah Pantai selesai melaksanakan amanah dan tanggungjawab untuk mengadakan mesyuarat-mesyuarat UMNO peringkat cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Pertama saya rakamkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan cawangan empat peringkat yang bertungkus-lumus untuk memastikan mesyuarat berjalan lancar mengikut perlembagaan parti.

“Seterusnya saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua Ketua Sayap dan Exco UMNO bahagian yang banyak membantu saya bagi memastikan semuanya berjalan lancar,” katanya.

Kata beliau lagi UMNO daripada dahulu sememangnya berpaksikan kepada akar umbi dan itulah kekuatan parti yang sehingga ke hari ini mampu menempuh pelbagai cabaran.

“UMNO dulu, kini dan selamanya berdiri atas kekuatan akar umbi di peringkat cawangan. Tanpa di bawah, tiadalah di atas. Wadah perjuangan UMNO konsisten dan masih releven.

“Tentu, kita diuji dengan kehilangan kuasa namun saya percaya melihat kepada semangat ahli kita akan terus istiqamah menguatkan parti,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79