UMNO Bukan Sekadar Parti Politik, Ia Wadah Perjuangan Bangsa – Mohd Zaidy
KUALA LUMPUR, 26 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata UMNO bukan sekadar sebuah parti politik.
Bahkan ujar bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan itu, ia adalah wadah perjuangan bangsa.
“Perkasakan parti, satukan saf dan jangan pernah lari daripada rakyat. Kita mesti menyantuni rakyat setiap masa, khususnya saat mereka memerlukan bantuan dan pembelaan.
“Dalam kita memperkukuh struktur parti di peringkat akar umbi, saya juga ingin mengingatkan agar kita bertanggungjawab menyampaikan segala maklumat serta dasar Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi UMNO, terutamanya usaha memperkasakan Islam, orang Melayu, Bumiputera dan negara.
“Agenda ini mesti difahami dan diyakini oleh seluruh rakyat di bawah jagaan kita,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.
Seterusnya, Mohd Zaidy bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, beliau berpeluang untuk bersama-sama ahli akar umbi dalam Mesyuarat Cawangan UMNO Batu Kikir.
“Tahniah dan syabas kepada seluruh jawatankuasa cawangan atas penganjuran mesyuarat ini yang mencerminkan semangat setia dan komitmen terhadap perjuangan parti,” katanya.
Dalam mesyuarat itu juga, Mohd Zaidy menekankan peluang pendidikan anak-anak Melayu dan Bumiputera yang kini terbuka luas melalui pelbagai inisiatif kerajaan.
“Khususnya menerusi agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA). Kita mesti pastikan maklumat ini sampai kepada ibu bapa, pelajar dan seluruh komuniti agar tiada siapa yang tercicir daripada arus pembangunan,” katanya.
Mohd Zaidy juga berharap ahli parti teruskan semangat perjuangan.
“Jangan goyah walau diasak, jangan layu walau diuji. UMNO Batu Kikir mesti kekal utuh menjadi tulang belakang perjuangan bangsa di kawasan ini.
“UMNO – Demi Agama, Bangsa dan Negara,” katanya lagi.
Dalam statusnya yang terkini, Mohd Zaidy turut berkongsi rutin tugasnya dengan membuat lawatan kerja sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang.
Beliau berkesempatan melawat kemajuan kerja-kerja baik pulih serta penyelenggaraan tebing dan sistem perparitan (longkang) di Felda Palong 2, yang sedang dilaksanakan oleh pihak Selia Selenggara Sdn. Bhd.
“Projek ini melibatkan peruntukan sebanyak RM500,000.00 yang telah diluluskan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk setempat, terutamanya semasa musim hujan yang berisiko menyebabkan hakisan dan limpahan air.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Jempol atas tindakan tuntas dan pelaksanaan yang cekap. Lokasi ini merupakan kawasan yang telah lama memerlukan perhatian, namun kini kerja-kerja telah selesai dengan sempurna dan jayanya,” katanya.
Selain itu, Mohd Zaidy juga meninjau kemajuan kerja-kerja penyelenggaraan cerun di Seksyen 7.7 dan 12.8 Jalan Jelai–Rompin (N20) yang sedang dilaksanakan oleh pihak kontraktor dengan penyelarasan daripada JKR Daerah Jempol.
“Melalui lawatan ini, saya difahamkan bahawa kaedah ‘guniting’ sedang digunakan bagi kerja-kerja pembaikan cerun di lokasi ini. Kaedah ini terbukti berkesan bagi menstabilkan cerun dan mencegah kejadian runtuhan, terutamanya selepas berlakunya hujan lebat yang kerap kebelakangan ini.
“Namun, saya ingin memohon agar pihak bertanggungjawab mempertingkatkan pemasangan papan tanda amaran keselamatan dan melaksanakan pengurusan trafik yang lebih baik, terutama pada waktu malam memandangkan laluan ini merupakan jalan raya utama yang sangat aktif digunakan oleh penduduk setempat.
“Keselamatan pengguna jalan raya mesti sentiasa menjadi keutamaan, dan saya yakin dengan kerjasama berterusan antara agensi, kontraktor, dan komuniti setempat, kerja-kerja ini akan berjalan lancar dan memberi manfaat besar kepada semua,” kataya.
Mohd Zaidy berharap agar usaha ini memberi manfaat langsung kepada komuniti dan menjadi contoh penyampaian perkhidmatan yang berkesan melalui kerjasama erat antara pemimpin, agensi pelaksana dan rakyat. – UMNO ONLINE