Pemuda UMNO Sandakan Teguh Teruskan Perjuangan, Komited Hadapi PRN Sabah – Effendy Salamon

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sandakan menyatakan sokongan padu terhadap seruan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menggesa agar perjuangan UMNO di negeri ini harus diteruskan dengan semangat kental serta kesatuan yang kukuh demi mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.

Ketuanya, Effendy Salamon berkata perjuangan UMNO Sabah perlu diteruskan dengan semangat dan iltizam yang tinggi berteraskan sejarah penubuhan parti ini.

Katanya, UMNO hadir di Sabah atas dasar permuafakatan, bukannya paksaan dan ia adalah langkah baik yang disambut rakyat dan pemimpin negeri itu demi mahukan kestabilan politik dan pembangunan berkekalan.

“Sejarah telah membuktikan bahawa kehadiran UMNO di Sabah sejak tahun 1991 bukanlah sebagai penceroboh, tetapi atas permintaan pemimpin dan rakyat Sabah sendiri yang mahukan kestabilan politik dan pembangunan yang lebih mampan.

“Dengan semangat ‘sekali berjuang, terus berjuang… hingga capai kemenangan’. Kami menyeru semua ahli dan penyokong UMNO di Sabah untuk terus bersatu padu, memperkukuh perpaduan, dan bekerja keras demi memastikan kemenangan parti dalam PRN ke-17.

“Hanya dengan usaha kolektif dan kesatuan yang padu, UMNO/BN mampu memenangi semula hati rakyat Sabah dan membawa negeri ini ke arah kemajuan yang lebih gemilang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan UMNO telah memainkan peranan penting dalam membawa pelbagai projek pembangunan seperti jalan raya luar bandar, bekalan elektrik dan air bersih, serta pembangunan institusi pendidikan tinggi seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Program seperti GERAK-17 yang dilaksanakan oleh UMNO Sabah menunjukkan komitmen parti dalam mendekati rakyat dan memahami isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat akar umbi.

“Sambutan hangat terhadap program ini membuktikan bahawa rakyat masih menaruh kepercayaan kepada UMNO untuk membela nasib mereka dan membawa Sabah ke arah kemajuan yang lebih cemerlang,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama kata Effendy lagi, UMNO Sabah telah menunjukkan keprihatinan terhadap keperluan rakyat tempatan dengan berpegang pada semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)

“Kami juga menghargai pendekatan UMNO Sabah yang mengutamakan autonomi dalam menentukan arah perjuangan parti di negeri ini, selaras dengan semangat MA63.

“Pendekatan ini menunjukkan bahawa UMNO Sabah memahami keperluan dan aspirasi rakyat tempatan, serta berusaha untuk memastikan hak dan kepentingan mereka sentiasa terpelihara,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79