Hari UMNO Ke-79: Tok Mat Seru Pemimpin, Akar Umbi Perkasa Parti

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru seluruh pemimpin dan akar umbi untuk bekerjasama bagi memperkasakan parti setelah usianya mencapai 79 tahun pada hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, segala persengketaan dalaman perlulah dielakkan di samping meneruskan proses pengkaderan yang telah dijalankan agar UMNO kembali bangkit diterima rakyat.

“Kita kalah Pilihan Raya Umum (PRU) lalu sebab lemah dan unsur-unsur melemahkan kita itu tidak ditangkis dengan baik. Dah hampir 80 tahun UMNO ini ditubuhkan. Semangat jati diri itu dilihat semakin lama, semakin kurang. Disebabkan itu, UMNO ini nampak lemah. Sekarang ini adalah proses untuk kita bangkit semula memperkasakan UMNO.

“Nak memperkasakan UMNO ini senang saja. Kita boleh lihat contoh-contoh bagaimana parti kita dahulu… tidak ada persengketaan, perbalahan dan perselisihan di dalamnya. Kalau itu dapat kita terapkan… dan anak-anak muda yang kita latih ini, faham tentang apa yang diperjuangkan parti, mereka akan dapat menghayatinya dengan sepenuh jiwa.

“Adalah lebih baik kita dapat meneliti dan juga melihat pemimpin-pemimpin pelapis melalui proses pengkaderan seperti Sekolah Patriotik UMNO ini. Pemimpin tiada yang datang ‘pasang siap’. Mesti dilatih agar mereka faham apa erti perjuangan. Jadi, apabila dah jadi pemimpin, mereka kuat dengan jati diri dan terus menjadi pemimpin yang setia kepada parti Insya-Allah,” katanya ketika ditemui sejurus selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-79 di sini, hari ini.

Ujarnya, UMNO perlu dilihat kuat dan tidak ada sebarang persengketaan yang melemahkan parti agar dapat diberikan mandat semula oleh rakyat untuk mengemuda pentadbiran negara pada masa akan datang.

“Itulah politik. Untuk menjadi kuat, kita kena lemahkan parti lawan. Ia menjadi lumrah politik dalam mana-mana parti. Tetapi, apa yang perlu kita lakukan adalah perkuatkan dan perkasakan dalaman hati. Kalau kita kuat… tidak ada persengketaan, orang nampak UMNO sebagai sebuah parti yang mantap dan harmoni.

“Orang akan dapat memberikan sokongan kepada sebuah parti politik yang mantap dan kuat. Tidak ada sesiapa yang akan memberi sokongan ataupun kepercayaan kepada parti yang dalamannya penuh huru-hara. Jadi, ini penting. Kita perkasakan dan harmonikan persefahaman dalaman parti.

“Maka, UMNO ini akan dilihat sebagai sebuah parti yang kuat dan boleh diberikan kepercayaan untuk kita mendapat semula mandat bagi mentadbir negara, Insya-Allah,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut meluahkan rasa kesal apabila melihat bekas-bekas pejuang UMNO telah digunakan sebagai senjata untuk melemahkan parti.

“Itu sebabnya saya katakan bahawa pemimpin mesti ada jadi diri sendiri. Bekas-bekas pejuang UMNO yang digunakan untuk memfitnah dan juga memburukkan parti itu adalah strategi mereka. Kita kesal kerana setelah mereka mengecap pelbagai keistimewaan semasa berada dalam parti UMNO ini, tetapi apabila keluar… UMNO ini semua buruk dan tak baik.

“Jadi, terpulanglah… orang di luar sana boleh menilai jadi diri mereka. Kita tak dapat nak menahan mereka daripada bercakap perkara yang baik atau tidak baik tentang parti.

“Tapi apa yang penting, UMNO sendiri perlu mengelakkan sengketa dan mantapkan perpaduan supaya dapat dilihat sebagai sebuah parti yang terus maju ke depan serta diberikan kepercayaan semula oleh rakyat. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79