UMNO Bukan Sekadar Parti Politik Tetapi Wadah Perjuangan Bangsa

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada seluruh ahli dan pendokong UMNO di seluruh negara yang terus istiqamah, setia dan berjiwa besar dalam mendukung perjuangan parti ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis berkata, UMNO bukan sekadar parti politik tetapi adalah wadah perjuangan bangsa.

“Sejak sebelum merdeka, UMNO telah menjadi tonggak kepada pembentukan Malaysia, mempertahankan hak-hak Melayu dan Bumiputera, serta menjamin kestabilan politik dan kemajuan ekonomi negara.

“UMNO kekal relevan sebagai komponen penting dalam Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan di dalamnya bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memainkan peranan yang sangat penting sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Kepimpinan beliau yang matang, tenang dan berstrategi telah membuktikan bahawa UMNO mampu berperanan besar dalam mengimbangi kuasa, memperkukuh kestabilan, dan menyuarakan kepentingan orang Melayu dan seluruh rakyat Malaysia secara berhemah dan berkesan,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman juga Ahli Parlimen Lipis menegaskan, walaupun UMNO sedang beradaptasi dengan landskap politik baharu, tidak pernah lari daripada asas perjuangan iaitu demi agama, bangsa dan tanah air.

“Kita tidak boleh leka. Kita mesti bersedia, hanya tinggal sekitar dua tahun sahaja lagi menuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, pilihan raya yang akan menentukan arah masa depan parti ini.

“Semua ahli UMNO di setiap peringkat, khususnya di akar umbi untuk mengukuhkan semangat setiakawan, membina keyakinan rakyat terhadap parti, mengembalikan roh perjuangan yang tulen dan tidak bersifat oportunis dan memberi ruang kepada suara anak muda dan sayap-sayap parti untuk lebih aktif serta dihargai,” katanya.

Mengulas lanjut, Timbalan Menteri Sumber Manusia itu juga melihat bagaimana peranan UMNO dalam menangani isu pekerjaan, kemahiran dan kelangsungan hidup rakyat semakin mencabar.

“Di sinilah peranan UMNO diperlukan, bukan sekadar untuk berpolitik, tetapi untuk menggubal dasar, menggerakkan inisiatif dan menjawab keresahan rakyat.

“Peranan kita bukan lagi hanya di pentas ceramah. Peranan kita kini adalah membina masa depan, mencorak dasar dan menyentuh kehidupan rakyat secara langsung.

“Selagi kita berpadu, selagi kita ikhlas berjuang, saya percaya UMNO akan terus berdiri teguh, bukan kerana nostalgia, tetapi kerana relevannya perjuangan ini untuk masa depan Malaysia,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79