Menjelang 11 Mei… Tarikh Penuh Makna, Semai Semangat Perjuangan UMNO
KUALA LUMPUR, 10 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyeru seluruh ahli parti agar bersatu dan terus mempertahankan legasi perjuangan bangsa menjelang sambutan hari bersejarah UMNO esok.
Menurut beliau, detik berkenaan merupakan satu tarikh penuh makna yang menyatukan jiwa ahli UMNO di seluruh negara.
“Tinggal hanya satu hari sebelum kita menyambut tarikh penuh makna, detik yang mengikat seluruh jiwa ahli UMNO di setiap pelosok tanah air,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya, hari ini.
Beliau turut memaklumkan akan menyampaikan ucapan penting esok, yang dijangka menyentuh hala tuju serta masa depan parti.
“Insya-Allah, esok saya akan berucap dan berbicara bagi kita bersama meneruskan sebuah legasi perjuangan bangsa,” tambahnya.
Terdahulu berlangsung raptai untuk Sambutan Hari UMNO ke-79 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Majlis raptai tersebut diadakan untuk memastikan perjalanan majlis bagi hari istimewa itu tersusun seperti dirancang, sekaligus menyemarakkan dan menyemai semangat juang pemimpin serta ahli parti.
Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan hadir untuk mengendalikan majlis raptai ini yang turut disertai oleh kakitangan Ibu Pejabat UMNO.

Sambutan Hari UMNO yang akan berlangsung pada Ahad akan diserikan dengan Majlis Graduasi Sekolah Patriotik UMNO (SPU) melibatkan 48 orang pelajar.
Bermula pada 10.00 pagi, sambutan ini akan dimulakan dengan majlis tahlil ringkas untuk bekas Perdana Menteri Malaysia yang juga bekas Presiden UMNO, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Seterusnya, majlis dilanjutkan dengan ucapan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki diikuti dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy
Majlis dihangatkan lagi dengan amanat daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disusuli dengan penyampaian Sijil Konvokesyen SPU oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemandu SPU, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.
Sambutan gilang-gemilang Hari UMNO ke-79 ini akan diakhiri dengan ucapan dari wakil pelajar pengisytiharan alumi graduan PSU Patriot 1. – UMNO Online