Pas Yang Lebih Dahulu ‘Sucikan’ Dap Melalui PasDap – Mustapha
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Pas telah ‘mensucikan’ Dap terlebih dahulu melalui PasDap, kata Setiausaha Agung Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakob.
Ujarnya, naratif yang dimainkan oleh Pas pada ketika ini terhadap kerjasama UMNO bersama Pakatan Harapan (PH) dengan jolokan UMDap itu mencerminkan kekesalan dan kecemburuan mereka melihat kejayaan dua gabungan membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Pas telah berusaha menjinak kuda liar Dap selama ‘berPasDap’ dalam satu kandang. Tapi Pas tidak mampu menunggang Dap kerana Pas suka ‘masuk dari belakang’ sehingga ditendang oleh kuda liar itu. Akhirnya Pas mengundur diri dan keluar kandang.
“Hari ini kuda liar yang hampir jinak itu bersama UMNO dan ianya semakin jinak dalam kandang Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH).
“Pas menyesal dan cemburu serta menuduh UMNO telah mensucikan Dap melalui UMDap. Sebenarnya Pas yang terlebih dahulu mensucikan Dap melalui PasDap,” katanya menerusi satu kenyataan.
Jelasnya, Pas pernah mencipta pelbagai fatwa ketika ‘berkahwin’ dengan Dap termasuklah memberi gelaran Lim Guan Eng sebagai Khalifah Umar Abdul Aziz dan menghalalkan penyokongnya mengundi parti itu.
“Pas yang telah memberi gelaran kepada Lim Guan Eng sebagai Khalifah Umar Abdul Aziz. Pas yang menghalalkan penyokongnya mengundi Dap. Pas yang menjulang bendera Dap buat pertama kalinya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas. Pas yang berdakap dan bercium dengan Dap.
“UMNO tidak pernah lakukan semua itu. Kita hanya berkawan di dalam satu kandang. UMNO tidak terikat dengan Dap. UMNO bukan menjadi barua Dap. UMNO bukan menjadi ‘pak turut’ Dap. UMNO tetap UMNO. UMNO itu Islam. UMNO itu Melayu. UMNO itu Raja-raja Melayu. UMNO itu tanah airnya Melayu.
“Kerjasama UMNO dengan PH. UMNO boleh keluar kandang sekiranya agama, bangsa, raja-raja dan negara ini tidak dihormati serta diterima PH,” katanya lagi.
Untuk rekod, Pas pernah menjalinkan kerjasama secara terus bersama Dap ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 pada tahun 1999 melalui platform Barisan Alternatif (BA) dengan strategi satu lawan satu.
Setelah menemui kegagalan, kerjasama PAS dan DAP terus diusahakan dalam platform baharu, iaitu Pakatan Rakyat (PR) dari 2008 sehingga 2015. Pas tekad memperbaiki kerjasama politik dengan Dap untuk menerima demokrasi melangkaui pilihan raya.
Bagaimanapun, hubungan kemuncak Pas dan Dap dalam PR terjejas apabila timbul isu Langkah Kajang, pencalonan Menteri Besar Selangor dan hasrat Pas untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan. – UMNO Online