UMNO 79 Tahun: Sekolah Patriotik Cerminan Usaha Perkukuh Perjuangan – Ariff Majid
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-79 pada tahun ini bakal diserikan dengan Majlis Graduasi Sekolah Patriotik UMNO yang akan melibatkan penyertaan seramai 48 orang pelajar pada 11 Mei ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Ariff Abdul Majid menyifatkan Sekolah Patriotik UMNO sebagai medan penting untuk melatih dan memahamkan pemimpin muda tentang perjuangan parti.
“Sekolah Patriotik adalah wadah untuk mempersiapkan pemimpin masa depan yang berjati diri dan berpegang kepada asas perjuangan parti berlandaskan Perlembagaan UMNO.
“Pemimpin muda perlu bersedia menghadapi cabaran masa depan dengan ilmu dan teknologi, namun tetap berakar kepada prinsip perjuangan parti yang menjadi tunjang utama,” tegas beliau.
Pada masa sama, beliau menegaskan UMNO bukan sahaja berperanan sebagai parti politik, malah menjadi benteng utama dalam mempertahankan hak-hak Melayu dan Islam dalam menghadapi cabaran masa depan negara.
“UMNO perlu kembali menjadi tunjang kerajaan sebagai pertahanan orang Melayu dan Islam. Asas masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama memerlukan kita hidup dalam suasana saling hormat-menghormati,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah beliau, landskap politik semasa menuntut UMNO untuk memainkan peranan semak dan imbang (check and balance) kepada dasar-dasar kerajaan, terutamanya yang melibatkan kepentingan Islam dan Bumiputera.
“Peranan ini penting bagi memastikan suara Melayu dan Bumiputera terus kedengaran dalam suasana politik yang semakin mencabar,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Ariff yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas berkata, UMNO perlu bergerak seiring dengan aspirasi rakyat dan tidak terperangkap dalam polemik lama.
“Kita mesti membawa politik khidmat bakti dan menyantuni rakyat di semua peringkat. Pendekatan turun padang serta mendengar sendiri keluhan rakyat adalah kunci kepada pemulihan keyakinan terhadap parti,” katanya.
Menurut beliau lagi, fokus utama UMNO kini bukan lagi isu dalaman semata-mata, sebaliknya memastikan segala dasar dan agenda yang dibawa benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. – UMNO Online