Isu Kampung Sungai Baru: Pemaju Perlu Bertanggungjawab Sepenuhnya – Johari
KUALA LUMPUR, 30 April – Pemaju perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan menyegerakan pembangunan seperti yang dijanjikan, kata Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, kerajaan telah memberikan Kelulusan Kebenaran Merancang dan Kelulusan Perintah Pembangunan kepada pemaju untuk menyelesaikan masalah ini.

“Projek pembangunan Kampung Sungai Baru yang tertangguh perlu dimulakan segera supaya rumah yang dijanjikan oleh pemaju kepada pemilik dapat dikembalikan.
“Kerajaan telah menunjukkan komitmen untuk menyelesaikan permasalahan ini dengan telah memberi Kelulusan Kebenaran Merancang dan Kelulusan Perintah Pembangunan kepada pemaju.
“Oleh sebab ini, pemaju sudah tidak boleh sengaja mencari-cari alasan lain lagi untuk tidak memulakan projek pembangunan Kampung Sungai Baru,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Mengulas lanjut, beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap keupayaan pemaju untuk menyelesaikan projek tersebut berdasarkan kedudukan kewangan mereka.
“Dengan kedua-dua kelulusan yang telah diberi oleh kerajaan kepada pemaju, syarikat ini sebenarnya sudah tidak boleh berlengah serta boleh mula untuk membina dua blok dahulu bagi memulangkan dengan segera unit-unit rumah yang sudah pemaju robohkan.
“Walaubagaimanapun, melihat cara pemaju ini mengendalikan perancangan pembangunan mereka, saya bimbang terhadap keupayaan pemaju dan kedudukan kewangan mereka untuk menyiapkan projek serta terdapat kemungkinan institusi perbankan mungkin tidak memberi pembiayaan,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan Johari berkata, projek pembangunan Kampung Sungai Baru yang tertangguh hampir sedekad, perlu diteruskan segera supaya penghuni yang terbabit dalam pengambilan tanah dapat kembali seperti dijanjikan.
Projek berkenaan tidak boleh dibatalkan lagi kerana warta di bawah Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 dikeluarkan pada 18 Jun 2021, manakala warta di bawah Seksyen 8 akta sama dikeluarkan pada 21 Jun tahun sama.
Ulasnya, pewartaan itu bermakna pembatalan projek bukan lagi pilihan dan perlu diteruskan supaya penantian hampir sedekad 328 pemilik pangsapuri dan rumah teres berakhir kegembiraan.
Pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.
Bagaimanapun, sesetengah penduduk, terutama penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 sekaki persegi ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWKL). – UMNO Online