Penyelarasan Kemasukan MRSM Dan SBP Langkah Bijak Demi Masa Depan Anak Bangsa – Norliza

KUALA LUMPUR, 22 April – Cadangan penyelarasan sistem kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang diumumkan akan bermula pada Januari 2026, mendapat sokongan penuh daripada pelbagai pihak, termasuk Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia merangkap Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.

Menurut beliau, langkah yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu merupakan satu tindakan yang bijak dan berpandangan jauh dalam memastikan sistem pendidikan berasrama negara dapat berfungsi dengan lebih efisien dan inklusif.

“Penyelarasan ini akan memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar, terutamanya mereka yang benar-benar berminat dan berpotensi dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya dalam satu kenyataan media berkaitan hal terbabit.

Beliau turut menekankan bahawa sistem sedia ada sering kali menghadapi isu pertindihan tawaran kemasukan, yang mengakibatkan tempat di MRSM atau SBP tidak diisi sepenuhnya apabila pelajar membuat pilihan beralih selepas tempoh pengambilan.

“Situasi ini merugikan kerana ramai pelajar dalam senarai menunggu tidak berpeluang mengisi kekosongan yang ditinggalkan. Dengan sistem penyelarasan baharu ini, pengambilan pelajar dapat dirancang dengan lebih tersusun dan tepat,” jelasnya lagi.

Tambah Norliza, usaha ini juga seiring dengan aspirasi negara untuk mencapai sasaran 70% kemasukan pelajar dalam bidang STEM sebagaimana digariskan oleh YAB Perdana Menteri, bagi memastikan keperluan tenaga kerja masa hadapan dapat dipenuhi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas inisiatif ini dan percaya ia akan membawa kesan positif yang besar kepada sistem pendidikan negara serta masa depan generasi muda Malaysia.

“Usaha kerajaan ini merupakan satu langkah signifikan dalam memperkukuh sistem pendidikan negara demi masa depan anak-anak kita dan kesejahteraan generasi akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit