TVET: Sokong Usaha Kerajaan, Peluang Anak Muda Cipta Kerjaya Masa Depan – Mohd Zaidy

JEMPOL, 16 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menyeru para lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan anak-anak muda di seluruh negara agar merebut peluang untuk memohon kemasukan ke program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang kini dibuka bagi Ambilan Perdana Julai 2025.

Menurut beliau, TVET adalah antara usaha kerajaan melalui Majlis TVET Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi memperkasakan pendidikan kemahiran untuk kerjaya masa depan lebih cerah sebagaimana tuntutan industri.

“TVET hari ini bukan sahaja melatih anak-anak muda dengan kemahiran teknikal, tetapi turut melengkapkan mereka dengan kepakaran dan pengetahuan selari dengan kehendak dan permintaan industri semasa. Inilah platform terbaik untuk generasi pelapis negara membina masa depan yang lebih stabil dan berjaya,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Mohd Zaidy, permintaan terhadap tenaga kerja mahir semakin meningkat sejajar dengan perkembangan teknologi dan ekonomi negara, maka para belia, khususnya yang masih mencari arah tuju kerjaya selepas menamatkan pengajian menengah, agar tidak melepaskan peluang ini.

Beliau menyokong usaha yang dilaksana oleh selaku Pengerusi Majlis TVET Negara,

“Ini adalah masa terbaik untuk mereka meneroka bidang yang menjanjikan masa depan cerah. Pelbagai program ditawarkan merangkumi bidang seperti kejuruteraan, automotif, teknologi maklumat, hospitaliti, pertanian moden dan banyak lagi. Semua ini dapat membuka ruang pekerjaan yang luas, malah ada yang mampu menjadi usahawan berjaya dalam bidang kemahiran masing-masing,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyarankan ibu bapa agar turut memainkan peranan penting dengan memberi galakan dan sokongan kepada anak-anak untuk memilih laluan TVET sebagai pilihan utama dalam meneruskan pendidikan tinggi mereka.

Mohd Zaidy turut menyatakan komitmennya untuk terus menyokong dan memperkasakan inisiatif TVET, khususnya di kawasan Jeram Padang, agar lebih ramai anak muda tempatan dapat diberi pendedahan dan bimbingan mengenai peluang pendidikan kemahiran.

“Generasi muda adalah aset penting negara. Pelaburan dalam pendidikan teknikal dan vokasional adalah pelaburan jangka panjang yang akan membawa manfaat besar kepada pembangunan negara. Jangan lepaskan peluang ini,” tegas beliau.

Permohonan bagi Ambilan Perdana TVET Julai 2025 telah dibuka bermula 14 April hingga 15 Jun ini dengan pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi https://mohon.tvet.gov.my.UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit