Dr Asyraf Kenang Jasa Tun Abdullah Ahmad Badawi Perkenal Dasar J-QAF
KUALA LUMPUR, 15 April – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, menzahirkan rasa dukacita atas pemergian bekas Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang kembali ke rahmatullah pada malam tadi.
Dalam hantaran pendek beliau di laman Facebooknya, Dr. Asyraf menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin berjiwa besar dan mempunyai visi pendidikan Islam yang jelas, antaranya menerusi pelaksanaan Dasar J-QAF di sekolah-sekolah kebangsaan.
“Antara jasa terbesar Allahyarham ialah memperkenalkan dan melaksanakan Dasar J-QAF yang telah memberi impak besar kepada pendidikan Islam negara.
“Menerusi dasar ini, generasi muda dididik agar celik Al-Quran dan mampu khatam sebelum menamatkan persekolahan di peringkat rendah,” katanya.
Dasar J-QAF, yang mula diperkenalkan pada tahun 2005, bertujuan memperkasakan pengajaran Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardu Ain dalam kalangan murid-murid sekolah rendah, dan menjadi antara legasi penting dalam pembangunan modal insan berteraskan nilai-nilai Islam.
Tun Abdullah, yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah, dikenang sebagai seorang negarawan yang sentiasa mengutamakan prinsip kesederhanaan, keharmonian dan pembangunan spiritual rakyat Malaysia.
Allahyarham telah meninggal dunia pada jam 7.10 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. – UMNO Online