Tragedi Putra Heights: UMNO Selangor Komited Bantu Mangsa
KUALA LUMPUR, 2 April – UMNO Negeri Selangor komited untuk terus turun padang membantu mangsa yang terkesan akibat insiden kebakaran yang berlaku di Putra Heights, Subang Jaya semalam.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din berkata bantuan diberikan tanpa mengira waktu, tempat mahupun fahaman politik.
“Saya menzahirkan rasa dukacita dan simpati yang mendalam terhadap ratusan keluarga yang terkesan akibat insiden kebakaran dahsyat yang berlaku di Putra Heights, Subang Jaya.
“Insiden ini bukan sahaja meragut ketenteraman hidup penduduk, tetapi turut meninggalkan trauma mendalam kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal, harta benda dan keselamatan diri.
“Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, saya menyatakan sokongan penuh terhadap semua usaha bantuan, termasuk yang telah digerakkan oleh UMNO Bahagian Kota Raja dan UMNO Bahagian Subang. Kami bersama rakyat, terutama saat mereka diuji,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Gombak dalam pada itu percaya bahawa isu ini akan dibawa terus ke peringkat tertinggi Kabinet untuk diteliti secara menyeluruh.
Katanya kerajaan perlu bertindak tegas dan profesional dalam memastikan bahawa mana-mana pihak, khususnya syarikat atau kontraktor yang cuai, tidak boleh dilepaskan daripada tanggungjawab.
“Kerugian harta benda, emosi dan nyawa manusia bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dengan sekadar ucapan simpati.
“Pihak yang didapati lalai atau gagal mengikut piawaian keselamatan mesti dikenakan tindakan undang-undang serta diwajibkan menanggung sepenuhnya kerugian mangsa.
“UMNO Negeri Selangor berdiri teguh bersama semua mangsa dalam menuntut keadilan dan pemulihan yang sewajarnya. Rakyat berhak mendapat persekitaran yang selamat dan pengurusan projek yang berintegriti.
“Kepada semua mangsa, teruskan tabah dan kuat dalam menghadapi ujian ini. Semoga ada sinar dikemudian hari,” ujar beliau. – UMNO Online