Kerajaan Sentiasa Ambil Berat Keselamatan Perairan Negara – Mohamad

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Malaysia tidak pernah mengiktiraf apa-apa tuntutan China di Laut China Selatan, berdasarkan ‘nine dash line map’, ‘four dha concept’ atau mana-mana peta yang diterbitkan oleh Kerajaan Republik Rakyat China yang meliputi kawasan maritim Malaysia, kata Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin.

Oleh itu, kata beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, tiada status rundingan diplomatik dengan negara China berhubung isu Beting Patinggi Ali memandangkan sememangnya berada dalam kawasan maritim Malaysia berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

“Kerajaan sentiasa mengambil berat akan keselamatan perairan negara di Laut China Selatan termasuk di kawasan Beting Patinggi Ali dan sentiasa memantau rapat sebarang perkembangan serta situasi semasa.

“Dengan keterlibatan dan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan isu tersebut ditangani dengan segera dan efisien tanpa menimbulkan sebarang ketegangan di lapangan.

“Pendekatan kerajaan ini dilaksanakan melalui mekanisme, ‘whole of government’ untuk menyelaras tindakan-tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk menjamin keselamatan perairan Malaysia. Setiap agensi kerajaan memainkan peranan masing-masing untuk memastikan kepentingan negara sentiasa dipertahankan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kasim yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan status rundingan diplomatik terkini dengan negara China berkenaan isu Beting Patinggi Ali dan tindakan China mencerobohi kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata kerajaan Malaysia menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa memberikan perhatian serius terhadap keselamatan di kawasan perairan negara.

Jelasnya, semua agensi penguatkuasa dan pemantauan maritim di negara amat komited dalam memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia adalah kekal terpelihara.

“Tindakan-tindakan yang diambil termasuklah rondaan, pengawasan, pemantauan dan penguatkuasaan berterusan di dalam kawasan maritim Malaysia bagi mempamerkan kehadiran, ‘show of presence’ di kawasan tersebut.

“Pelaksanaan rondaan berkala dan operasi oleh pasukan keselamatan negara bertujuan bagi memastikan keselamatan aktivitiaktiviti ekonomi negara seperti aktiviti eksplorasi dan eksploitasi hidrokarbon di kawasan tersebut sentiasa terpelihara sepanjang masa di samping mempertahankan kedaulatan negara,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit