JAKOA Perkasa Daya Saing Orang Asli Melalui Modenisasi Pertanian Dan Keusahawanan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Program Modenisasi Pertanian Orang Asli diperkenalkan sebagai salah satu strategi utama dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing lebih 8,000 Orang Asli yang bergantung kepada sektor pertanian dan penternakan sebagai sumber pendapatan utama.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata ia dilaksana menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), sebagai agensi di bawah KKDW.

Katanya ia untuk terus memperkukuh usaha memastikan masyarakat Orang Asli bukan sekadar menerima bantuan tetapi juga diberdayakan untuk berdikari dan maju seiring dengan arus pembangunan negara.

“Program ini menyasarkan untuk memberi manfaat kepada 5,000 penerima dalam tempoh lima tahun dengan menyediakan bantuan kelengkapan pertanian sehingga RM5,000.

“Selain peruntukan RM50,000 bagi membina baharu serta menaik taraf infrastruktur pertanian di kawasan penempatan Orang Asli termasuk sistem pengairan, stor penyimpanan hasil dan rumah hijau,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Ahmad Zahid, bagi memastikan komuniti ini dapat menerapkan teknologi moden dalam sektor pertanian, kerajaan juga menyediakan bantuan mekanisasi pertanian sehingga RM15,000 yang merangkumi sokongan untuk jentera kecil dan sistem pengairan automatik.

“Bantuan integrasi pertanian sehingga RM10,000 bagi pembangunan sistem pertanian bersepadu dan Bantuan Sara Hidup sebanyak RM170 sebulan kepada lebih 2,000 penerima setiap tahun sehingga tanaman sawit berhasil di bawah Program Tanam Semula Ladang Orang Asli.

“Untuk terus memperkasa masyarakat Orang Asli, JAKOA turut melaksanakan Program Pembangunan Usahawan dan Koperasi Orang Asli bagi meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti dengan menyediakan Geran Bantuan Bimbingan Usahawan untuk membina premis perniagaan.

“Termasuk bengkel dengan kadar tidak melebihi RM50,000, pemberian bantuan Peralatan dan Mesin Ringan sehingga RM30,000, bantuan Geran Koperasi sehingga RM300,000 bagi setiap permohonan dan bantuan Program Skim Insentif Sokongan Koperasi (SISKOP) yang tidak melebihi RM25,000,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini, kerajaan menyasarkan peningkatan 40 peratus dalam kadar pendapatan isi rumah Orang Asli menjelang 2030 sekali gus mengurangkan kadar kemiskinan dalam komuniti ini secara berkesan.

“Saya percaya bahawa kemajuan masyarakat Orang Asli menjadi tanggungjawab JAKOA yang perlu digerakkan secara bersama sebagai agenda nasional dengan penglibatan sektor swasta, badan bukan Kerajaan dan komuniti setempat.

“Menerusi pendekatan strategik dan bersepadu ini, saya yakin bahawa masyarakat Orang Asli akan terus maju, berdaya saing dan mampu berdikari dalam arus pembangunan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit