Waspada Dengan Pihak Yang Cuba Menangguk Di Air Keruh – Razlan

KUALA LUMPUR, 24 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Mohd Razlan Rafii menasihati ahli agar berwaspada dengan pihak yang cuba menangguk di air yang keruh di kala wujud beberapa isu yang melingkari parti.

Tegas Ketua UMNO Bahagian Seputeh itu, kehadiran pihak ketiga yang bersikap demikian ternyata bukan untuk menjernihkan keadaan tetapi sudah pasti mahu memburukkan lagi situasi.

“Di kala wujud salah faham antara kita di dalam parti, ternyata ada pihak lain yang akan cuba menangguk di air yang keruh.

“Kehadiran pihak ketiga ini bukan untuk meredakan ketegangan tetapi memburukkan keadaan lagi. Akhirnya kelak parti kita juga yang akan rugi dan musnah,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Baru-baru ini Razlan menghadiri program Perjumpaan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunus bersama kepimpinan empat peringkat UMNO bahagian itu di Sungai Besar.

Dalam pertemuan tersebut, Razlan juga memberi penerangan mengenai isu-isu yang sedang dihadapi oleh UMNO dan kerajaan Persekutuan hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kepong Abdul Razak Abdul Rahman, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya Datuk Ahmad Faisal, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Seputeh Tn. Hj. Nayan serta kepimpinan UMNO Bahagian Seputeh dan anggota rombongan.

Tambahnya lagi, sebagai Ahli MKT Angkat bagi UMNO Bahagian itu, beliau turut dijemput untuk hadir ke dalam Mesyuarat UMNO Bahagian Sungai Besar, Bil. 1/2025.

“Terima kasih UMNO Bahagian Sungai Besar atas layanan yang baik dan insya-Allah kita berjumpa lagi,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit