Titah Adendum: Mohamad Nizar Zahir Ucapan Terima Kasih Kepada Ahmad Zahid, Wan Rosdy
KUALA LUMPUR, 8 Jan – Anakanda kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Mohamad Nizar Najib menzahirkan ucapan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di atas usaha mereka memfailkan afidavit untuk mengesahkan wujudnya Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong terhadap Datuk Seri Najib.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menzahirkan rasa syukur di atas keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib memulakan prosiding semakan keputusan Mahkamah Tinggi untuk hukuman tahanan rumah.
“Syukur Alhamdulilah di atas keputusan 2-1 di Mahkamah Rayuan yang memihak kepada ayahanda Datuk Seri Najib Razak. Dengan keputusan ini, beliau mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding semakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
“Saya ingin membuat nukilan dan posting khas kepada bos saya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Selain usaha Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO untuk fail afidavit Titah Adendum yang saya amat hargai… beliau juga mengambil risiko peribadi untuk mengesahkan pada awalnya kewujudan Titah Adendum dan tahanan rumah melalui afidavit yang beliau failkan di mahkamah.
“Tanpa pengesahan awal ini, orang ramai tidak tahu akan kewujudan titah tersebut.
Tidak ramai tahu yang saya sentiasa berhubung dengan Menteri Besar, memohon nasihat dan pandangan sepanjang Titah Adendum ini berlangsung. Beliau banyak memberi dorongan dan nasihat sepanjang saya serta keluarga perjuangkan pekara ni bagi pihak ayahanda,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut mendoakan agar Wan Rosdy diberikan kesihatan yang baik untuk terus memimpin pentadbiran di Negeri Pahang.
“Bos saya ini bukan jenis yang suka ‘claim credit’ tak tentu pasal. Beliau kuat bekerja, tahu-tahu kerja dah siap… biar pencapaian dan prestasi berbicara. Dalam erti kata ‘action speaks louder than words’. Lihat sahajalah pencapaian hasil negeri yang meningkat berlipat ganda, setinggi 175 peratus antara 2018-2025.
“Sebagai Exco penggal pertama, banyak saya belajar daripada beliau dalam bab kepimpinan. Bagaimana beliau selesaikan masalah, damaikan pihak-pihak yang sedang bertelagah, uruskan krisis kecil mahupun besar dan hadapi banyak cabaran dengan tenang.
“Terima kasih tak terhingga Datuk Seri Menteri Besar. Saya dengan ikhlas selalu mendoakan agar beliau diberikan kesihatan yang baik dan kekuatan untuk terus memimpin kami di pentadbiran Negeri Pahang,” katanya lagi.
Pada Isnin media melaporkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72, untuk mendapatkan kebenaran itu.
Ketika membaca keputusan terbabit, Mohd Firuz berkata, mahkamah memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan kehakiman ini diputuskan. – UMNO Online