‘Jaga Parti Masing-masing, Jangan Sibuk Hal Dalaman UMNO’ – Azhari
KUALA LUMPUR, 3 Jan – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari menempelak segelintir pihak yang mencampuri urusan dalaman UMNO.
Menurut beliau, ini termasuk inisiatif ahli parti yang akan melaksanakan Himpunan Solidariti sebagai tanda sokongan kepada mantan presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 6 Januari ini di Istana Kehakiman Putrajaya.
“Saya berpandangan bahawa jaga rumah tangga kita masing-masinglah. Setiap parti ini ada isu dalaman yang perlu diselesaikan dalam parti.
“Tak payahlah parti-parti lain nak jadi mesyuarat tingkap nak ambil tahu hal parti lain. Apatahlagi dalam gabungan atau luar gabungan itu hal kita, yang patut kita perjuangkan… kita perjuangkan. Tak ada kaitan dengan mana-mana parti.
“Bukannya kita nak pergi buat demonstrasi berguling-guling di jalan raya, mengeluarkan poster-poster yang bukan-bukan, memijak poster. Tak ada lah… Itu bukan UMNO lah. Jadi saya nak beritahu kepada parti lain, UMNO tidak ada perangai macam itulah,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Azhari dalam pada itu turut sama menyentuh sama berkenaan Himpunan Solidariti tersebut yang dilakukan bagi menyatakan sokongan kepada Najib yang telah banyak berjasa bukan hanya kepada parti, tetapi juga kepada agama, bangsa, dan negara.
“Saya menyeru kepada parti-parti lain, henti keluarkan sebarang kenyataan berkaitan dengan apa yang UMNO akan bergerakkan pada 6 Januari ini iaitu solidariti bersama Najib kerana beliau ialah bekas presiden dan bekas Perdana Menteri kita.
“Wajarlah kita bersama memberi sokongan dan kalau parti lain pun ada isu dengan presiden masing-masing, kita pun tak ambil hal.
“Saya yakin bahawa solidariti kali ini pihak urusetia telah buat perkara yang betul dengan mengikut saluran dan tidak akan menimbulkan masalah,” ujar beliau. – UMNO Online