Himpunan Solidariti: Sharif Musa Minta Hentikan Tuduh UMNO, Kukuhkan Kerajaan Perpaduan

LAHAD DATU, 3 Jan – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul, menegur Pengerusi Dap, Lim Guan Eng, berhubung kenyataannya yang mengkritik tindakan UMNO berkaitan sokongan terhadap Himpunan Solidariti untuk Datuk Seri Najib Razak.

Dilaporkan, himpunan ini dianjurkan sebagai tanda sokongan moral kepada bekas Perdana Menteri yang juga mantan Presiden UMNO selain menyampaikan mesej solidariti dan keprihatinan terhadap isu-isu yang melibatkan keadilan dan integriti sistem perundangan negara.

Terdahulu, Guan Eng ini mendakwa himpunan tersebut menggugat kestabilan Kerajaan Madani dan mendakwa diadakan bersama Pas.

Sharif Musa menegaskan bahawa kenyataan sedemikian tidak wajar dikeluarkan kerana ia hanya membangkitkan ketegangan politik dalam kalangan ahli UMNO.

Menurut beliau, UMNO telah membuktikan komitmen yang kukuh dalam memastikan kestabilan dan kelangsungan Kerajaan Perpaduan.

“UMNO adalah komponen penting dalam Kerajaan Perpaduan dan memainkan peranan utama dalam memastikan kestabilan politik negara. Saya menyeru agar Lim Guan Eng lebih bijaksana dalam mengeluarkan kenyataan dan mengelakkan retorik yang boleh merosakkan keharmonian,” ujarnya dalam satu kenyataan berkaitan hal tersebut.

Beliau turut menyeru semua pihak agar memfokuskan usaha kepada pembangunan negara dan mengekalkan semangat saling hormat-menghormati.

“Kerajaan Perpaduan telah membawa suasana yang lebih inklusif dan harmoni, di mana kepelbagaian bangsa dan agama diraikan dengan penuh mahabbah dan mawaddah. Malaysia Madani juga mempunyai dasar yang jelas dalam memastikan hak semua pihak terjamin,” tambahnya lagi.

Sharif Musa turut mengajak orang ramai untuk hadir dalam himpunan solidariti bersama Bossku pada 6 Januari 2025 sebagai tanda sokongan dan solidariti. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit