Terus Gerak Ke Depan…Perkukuhkan Kerajaan – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 2 Jan – Tahun 2025 bakal menjadi tahun kedua Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan dan banyak perkara yang dilakukan, namun masih banyak lagi yang berada dalam perancangan untuk dilaksanakan, kata Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Menurut beliau tahun 2024 yang melabuhkan tirainya Selasa lalu penuh dengan pelbagai dugaan namun ianya juga turut dihiasi dengan pelbagi kejayaan.

“Pelbagai dugaan, suka dan duka sepanjang tahun 2024 telah berjaya kita lalui.  Pelbagai warna-warni politik berlaku sepanjang tahun yang lalu.

“Empat pilihan raya kecil yang diadakan, dua daripadanya ditandingi oleh rakan dalam Kerajaan Perpaduan iaitu PRK Kuala Kubu Baharu dan PRK Sungai Bakap manakala dua lagi ditandingi oleh UMNO iaitu PRK Nenggiri dan juga PRK Mahkota.

“Alhamdulillah, UMNO telah mencatat keputusan yang sangat cemerlang dalam kedua-dua PRK yang ditandingi,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Kata beliau ini menjadi bukti bahawa UMNO masih terus kekal menjadi parti bertunjangkan Melayu Islam yang mendapat sokongan dan dokongan daripada rakyat.

“Insya-Allah, pada tahun 2025, UMNO secara keseluruhan dan di Negeri Sembilan khususnya akan terus mengambil pelbagai langkah untuk memperkasakan parti, berkhidmat untuk rakyat dan memberikan komitmen yang terbaik di dalam Kerajaan Perpaduan.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua penjawat awam, ketua-ketua jabatan dan seluruh rakyat Negeri Sembilan yang telah memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan. Khusus kepada para wakil Rakyat Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan, teruslah memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat di kawasan.”

Beliau berpesan agar sentiasa jadikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sebagai fokus utama dalam perjuangan kita.

“Insya-Allah, tahun 2025 akan menjadi tahun yang lebih baik kepada kita semua, dan yang paling utama adalah kestabilan dan kemakmuran di negara kita dapat kita kekalkan. Semoga ukhuwah dan silaturrahim sesama kita akan terus berkekalan untuk masa yang akan datang,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit