Pasca-PRK Mahkota: Visi Pembangunan Tambat Hati, Pengundi Muda Dan Atas Pagar Sokong BN – Saifullah Ali

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Muhammad Saifullah Ali berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota isyarat jelas bahawa parti itu masih memiliki sokongan yang signifikan, terutama dalam kalangan pengundi Melayu, orang muda, dan pengundi atas pagar.

Menurutnya, calon BN Syed Hussien Syed Abdullah dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berjaya memenangi hati pengundi dengan menawarkan visi yang selaras dengan aspirasi golongan muda, termasuk penekanan pada peluang pekerjaan dan pembangunan tempatan.

“Sokongan undi Melayu yang kukuh terhadap BN, mencatatkan 67 peratus pengundi Melayu yang memilih BN dalam PRK ini menunjukkan bahawa mesej pembangunan dan kestabilan yang dibawa oleh BN masih relevan, khususnya dalam menangani isu-isu kos sara hidup.

“Dalam kalangan pengundi muda, 58 peratus pengundi berumur 18 hingga 35 tahun menyokong Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan calon BN Syed Hussien Syed Abdullah.

“Ia menunjukkan satu angka yang BN mampu menarik perhatian generasi muda dengan pendekatan yang lebih segar dan praktikal. Ini jelas terbukti bahawa pengundi muda dan atas pagar mencari calon yang menawarkan penyelesaian konkrit dan terbukti Syed Hussien berjaya memenuhi kriteria tersebut,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Saifullah lagi, lebih menarik kajian menunjukkan bahawa 45 peratus pengundi atas pagar di Mahkota akhirnya menyokong BN selepas melihat pemimpin muda yang dinamik seperti Dr Akmal, yang mengutamakan isu pekerjaan, pendidikan, dan pembangunan kawasan luar bandar.

Mengulas lanjut, Saifullah yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh berkata, kemenangan ini membuktikan bahawa BN memahami keperluan rakyat.

“Secara keseluruhan kemenangan ini adalah bukti bahawa strategi BN untuk menonjolkan calon yang memahami keperluan rakyat serta mampu berkomunikasi dengan baik.

“Kempen politik yang disasarkan terutamanya kepada golongan pengundi muda telah membuahkan hasil dan dilihat berhasil menarik perhatian kelompok pengundi ini,” katanya lagi.

Pada Sabtu lalu, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti lebih besar selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah memenangi PRK menewaskan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar.

Syed Hussien yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kluang menang dengan majoriti 20,648 selepas meraih 27,995 undi, berbanding Mohamad Haizan atau Coach Haizan dengan 7,347 undi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit