Tahniah BN, Kejayaan PRK Mahkota Tanda Penolakan Terhadap Politik Kebencian – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kejayaan Barisan Nasional (BN) mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dengan kemenangan besar semalam bukan sahaja tanda sokongan kepada BN tetapi juga penolakan kepada politik kebencian yang dibawa pembangkang.

Ini kerana katanya, keputusan selepas Syed Hussien Syed Abdullah memperoleh majoriti besar 20,648 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) itu adalah isyarat bahawa rakyat menolak politik kebencian.

“Kejayaan ini juga isyarat jelas kepada pembangkang bahawa rakyat menolak retorik, polemik dan politik kebencian yang sering dimainkan mereka. Rakyat mahukan kestabilan demi kemakmuran,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya melahirkan kesyukuran atas kejayaan BN dan berterima kasih kepada semua yang terlibat.

“Alhamdulillah atas kejayaan di PRK Mahkota. Syabas dan tahniah. Terima kasih kepada semua pengundi yang sentiasa istiqamah memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional.

“Setinggi penghargaan juga kepada seluruh jentera dan semua pihak yang bertungkus lumus membantu kemenangan yang sangat bermakna ini,” katanya lagi.

Dalam PRK yang berlangsung semalam, Syed Hussien, yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, selaku wakil Kerajaan Perpaduan memperoleh 27,995 undi, jauh meninggalkan pencabarnya daripada Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar, yang sekadar meraih 7,347 undi.

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Pada pilihan raya negeri sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Ini adalah PRK ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu) dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK DUN Sg Bakap (Pulau Pinang) dan PRK DUN Nenggiri (Kelantan). – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.