BN Pertahan DUN Mahkota, Menang Bergaya Dengan Majoriti 20,648 Undi

KLUANG, 28 Sept – Barisan Nasional (BN) mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dengan kemenangan bergaya selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah memperoleh majoriti besar 20,648 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu hari ini.

Syed Hussien, yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, selaku wakil Kerajaan Perpaduan memperoleh 27,995 undi, jauh meninggalkan pencabarnya daripada Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar, yang sekadar meraih 7,347 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Azurawati Wahid di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK DUN Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini malam ini, yang turut memaklumkan 339 kertas undi ditolak selain 24 tidak dikembalikan.

Beliau juga berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama sepanjang PRK berlangsung, yang bermula dengan hari penamaan calon pada 14 Sept lepas.

Secara keseluruhannya, Azurawati berkata peratus pengundian pada PRK itu ialah 53.84. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.