Penganjuran Karnival Kerjaya Akan Diteruskan, KESUMA Alu-alukan Kerjasama NGO

KLUANG, 27 Sept – Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata penganjuran karnival kerjaya akan dilaksanakan secara berterusan dari masa ke semasa.

Menurut Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, pihak Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengalu-alukan badan bukan kerajaan (NGO) untuk bekerjasama mengadakan program sedemikian.

“Sudah pastilah program seperti ini kami akan laksanakan secara berterusan dari masa ke semasa. Insya-Allah selepas ini di Bagan Datuk. Baru-baru ini kita dilaksanakan di banyak tempat termasuklah sebelum ini di Perhimpunan Agung UMNO.

“Usaha ini kita lakukan tidak lain dan tidak bukan adalah memastikan rakyat di negara ini tidak ketinggalan dari segi untuk mendapatkan peluang pekerjaan,” katanya kepada media selepas majlis perasmian program Gegar Jejak Kerjaya MyFutureJos Orang Mahkota 2024 bersama Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga (HAWA Malaysia) di Bazaar Uptown Kluang di sini hari ini.

Program tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi HAWA Malaysia Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Program Gegar Jejak Kerjaya MyFutureJos Orang Mahkota 2024 dianjurkan oleh KESUMA, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) dan HAWA Malaysia.

Tambah Abdul Rahman, perubahan dan peredaran zaman telah mengubah corak penawaran peluang pekerjaan.

“Zaman dahulu mencari pekerjaan melalui iklan-iklan surat khabar dan mereka memohon. Tetapi hari ini Kerajaan Madani membantu, mencari orang bekerja seperti mana MyFutureJobs ini.

“Di Kluang ini 30 syarikat yang menawarkan diri peluang pekerjaan dengan 3,000 kekosongan untuk masyarakat tempatan khususnya,” kata Ahli Parlimen Lipis itu lagi.

Tambah Abdul Rahman juga, penganjuran program sedemikian juga mampu menurunkan kadar pengangguran negara.

“Kita telah meningkatkan kadar pengurangan pengangguran kepada 0.1 peratus daripada 2.4 peratus. Kalau kita laksanakan dari semasa ke semasa program seperti ini saya percaya peningkatan kadar pengurangan penganggguran negara ini akan boleh dicapai.

“Walaupun kita tahu ramai anak muda terlibat dengan ekonomi gig dan kita sedang mengatur langkah supaya akta gig dilaksanakan. Kita sedang menyusun akta gig yang boleh memberi ruang dengan yang baik kepada pengusaha-pengusaha ekonomi gig ini. Usaha yang kita lakukan ini untuk memberi peluang kepada anak tempatan,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, memetik ucapan Ahmad Zahid semasa merasmikan program tersebut, beliau menggalakkan NGO mengambil peluang bekerjasama dengan pihak kerajaan menganjurkan lebih banyak karnival kerjaya bagi meningkatkan peluang anak muda mendapat pekerjaan.

Jelasnya lagi, kerjasama itu membolehkan padanan pekerjaan dilakukan bagi memastikan kemahiran anak muda disalurkan kepada syarikat tempatan, sekali gus membantu ekonomi sesebuah negeri. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.