PRK Mahkota: Pilih BN, Tolak Sifat Keji Pembangkang Fitnah Syed Hussien – Hasnal Rezua Merican

KLUANG, 27 Sept – Ketua UMNO Bahagian Selayang Datuk Hasnal Rezua Merican menempelak Perikatan Nasional (PN) apabila percubaan mereka untuk membawa perspektif negatif membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah pada saat-saat akhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota.

Menurut beliau ia mencerminkan sikap pembangkang yang tidak matang dan tidak berkualiti dalam berpolitik.

“Ini adalah satu dakwaan yang keji dibawa pada saat akhir untuk menampakkan bahawa mereka memang tidak ada keyakinan akan menang dan mencerminkan sikap sebenar pembangkang Malaysia hari ini.

“Tidak ada standard, tidak ada isu nak bawa. Ini adalah politik keji dan ini politik tahun silam 70-an, 80-an dulu mungkin laku.

“Seharusnya kita sudah matang kerana melalui proses penggantian kerajaan, sepatutnya menangani pengundi muda umur 20 hingga 30-an, jangan bawa politik bodoh macam ini dan dipersembahkan sebagai satu hidangan politik untuk menjadi pilihan rakyat.

“Niat jahat dalam membuat tohmahan ini pada saat Syed Hussien menjadi calon pilihan raya adalah satu perkara yang saya anggap sangat keji apabila mereka bawa isu mengatakan Syed Hussien ini ada laporan polis dibuat terhadap dia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO Online selepas ditemui bersama pengundi Cina, di Restoran Nasib yang dihadiri Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Hasnal Rezua yang juga pengamal undang-undang turut memaklumkan bahawa laporan polis yang dibuat adalah satu proses biasa yang boleh dibuat oleh mana-mana pihak terhadap mana-mana individu.

Malah kata beliau sesuatu laporan polis yang dibuat ke atas seseorang juga tidak menjadikan individu itu sebagai penjenayah.

“Dalam macam-macam keadaan ada laporan polis sama ada bertengkar dengan jiran, langgar kereta, pergaduhan domestik dalam rumah pun boleh buat laporan polis

“Tapi faktanya ada laporan polis terhadap dia tidak menjadikan dia penjenayah. Sebab itu bila dia kata Syed Hussien ada rekod maka PDRM keluarkan statement mengatakan setelah semakan dibuat pada daftar jenayah tidak ada rekod atas nama Syed Hussien.

“Ini bermaksud sama ada dia tidak pernah didakwa dan disabitkan di mahkamah atau dia tidak pernah disabitkan pada satu kesalahan yang boleh didaftarkan kepada kesalahan jenayah.

“Jadi yang jelasnya kita tahu bahawa Syed Husin tidak pernah didakwa, dibicarakan atau disabitkan oleh mana-mana mahkamah,” ujar beliau.

Terdahulu, media pada semalam melaporkan laporan kes pukul membabitkan Syed Hussien sudah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan diarahkan tiada tindakan lanjut (NFA)

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh memaklumkan tiada mana-mana pihak yang dituduh dalam kes berkenaan termasuk penama yang dinyatakan.

“Hari ini pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang mengesan satu pautan di laman media sosial berhubung dakwaan bahawa isu calon daripada parti Barisan Nasional (BN) dipercayai mempunyai rekod jenayah.

“Hasil semakan mendapati penama Syed Hussien Syed Abdullah tidak mempunyai rekod sabitan jenayah di bawah kesalahan boleh daftar dalam konteks Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969 [Akta 7],” katanya melalui kenyataan.

PRK ini menyaksikan Syed Hussien, 40, yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Kluang menjadi taruhan Barisan Nasional (BN.

Beliau yang juga Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian aktif dalam pelbagai kegiatan belia serta kesukarelawanan menerusi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mampu bertutur dalam bahasa Mandarin.

PRK ini menyaksikan Syed Hussien akan berdepan saingan dua penjuru dengan calon Perikatan Nasional, bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut selepas mantan ADUN Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia pada Ogos lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.