PRK Mahkota: Mohamed Khaled Seru Anak Muda Pilih Calon Mampu Bawa Suara Mereka

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled menyeru anak-anak muda untuk memilih wakil rakyat yang mampu membawa suara mereka sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Tegasnya, anak-anak muda di Kluang mempunyai peluang untuk menyumbang kepada pengukuhan kekuatan Kerajaan Negeri Johor dan negara.

“Malam tadi saya sempat untuk lepak santai bersama anak-anak muda Kluang di Port Santaizzz.

“Anak-anak muda di Kluang pada hari Sabtu ini mempunyai peluang untuk menyumbang kepada pengukuhan kekuatan kerajaan negeri dan negara.

“Gunakan peluang ini untuk menzahirkan keadaan ini. Pilihlah individu yang benar-benar berkesan dan boleh membawa suara rakyat, termasuk orang-orang muda,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Tegasnya, pilihan yang jelas dan diyakini untuk Mahkota adalah calon daripada Barisan Nasional (BN).

“Pilihan yang jelas adalah calon BN. Calon muda yang diyakini dan berupaya membawa aspirasi dan perjuangan untuk masyarakat.

“Selamat maju jaya saya ucapkan kepada anak-anak muda, saya doakan semuanya mempunyai masa hadapan yang lebih baik. Insya-Allah,” katanya.

PRK kerusi DUN Mahkota yang bakal diadakan pada 28 Sept ini, menyaksikan pertembungan antara calon BN dan Perikatan Nasional (PN).

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas, manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.