Serangan Kepada BN, Lawan Gentar Lihat Kekuatan Jentera Bantu Kempen Mahkota – Sharkar

KLUANG, 27 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menyifatkan pembangkang gentar dengan kekuatan jentera parti seluruh yang turun membantu Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota.

Jelas beliau, ia termasuk gerak kerja parti yang bersusun dan strategik dalam mendekati pengundi yang terdiri daripada pelbagai kelompok masyarakat.

“Mereka tahu bahawa jentera daripada seluruh negara datang membantu dan ini kelebihan.

“Selain daripada kita dapati bahawa struktur jentera yang ada di Johor ini sangat sistematik dan cara mereka bekerja pun sangat sistematik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online pada Sesi Sembang Santai bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), semalam.

Mohd Sharkar dalam pada itu menambah disebabkan itu, parti lawan mula melakukan serangan pada calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah pada saat-saat akhir kempen.

“Mereka melihat bahawa antara cara yang nak menjatuhkan disaat-saat ini adalah sarangan peribadi. Ini taktik lama.

“Kalau kita nak serang belah sana pun kita pun ada isu nak serang belah sana tapi itu bukan cara kita.

“Memenangi pilihan rakyat dengan serangan peribadi ini ini cara yang tak gentleman lah sebenarnya.

“Sebenarnya kita mesti pilih calon yang mempunyai kemampuan untuk melaksanakan tugas jika dia beri peluang untuk mereka menjadi wakil disini,” ujar beliau.

Syed Hussien, 40, yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Kluang yang juga Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian menjadi taruhan BN pada PRK DUN Mahkota.

Beliau aktif dalam pelbagai kegiatan belia serta kesukarelawanan menerusi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mampu bertutur dalam bahasa Mandarin.

Syed Hussien pada PRK ini akan berdepan saingan dua penjuru dengan calon Perikatan Nasional, bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut selepas mantan ADUN Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia pada Ogos lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.