Felcra Antara Agensi Kerajaan Berperanan Angkat Taraf Ekonomi Masyarakat Desa

KLUANG, 27 Sept – Kerajaan Persekutuan khususnya melalui agensi-agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berperanan penting dalam mengangkat taraf sosioekonomi masyarakat desa.

Menurut Pengerusi Felcra Berhad Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub, sokongan dan bantuan kerajaan dengan dasar-dasarnya yang proaktif mampu memberi manfaat kepada rakyat.

“Dalam usaha mengangkat taraf ekonomi masyarakat luar bandar, kita tidak boleh menafikan betapa pentingnya sokongan dan bantuan daripada pihak kerajaan.

“Dengan dasar-dasar yang proaktif dan program-program yang dilaksanakan oleh KKDW, Felcra mampu merealisasikan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat terus kepada peserta-peserta Felcra di seluruh negara.

“Kami di Felcra amat menghargai keprihatinan kerajaan dalam membantu kami mencapai misi. Dasar-dasar mesra rakyat adalah faktor kejayaan Felcra. Sokongan berterusan menjadi pendorong untuk kami menggandakan usaha terutama memperkasakan masyarakat luar bandar,” katanya.

Ahmad Jazlan berkata demikian semasa berucap pada program Felcra Madani: Santuni Rakyat yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Serbaguna Chamek di sini pada Khamis.

Selain Ahmad Zahid, hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin, Exco Kerajaan Negeri Johor Datuk Zahari Sarip dan barisan kepimpinan Felcra Berhad.

Ahmad Zahid dalam ucapan perasmian mengumumkan Keuntungan Boleh Agih Interim 2 Tahun 2024 Projek Peserta Felcra Berhad (Felcra) berjumlah RM129.81 juta.

Jelasnya, agihan keuntungan tersebut akan dibayar secara berperingkat dan memanfaatkan hampir 68,000 peserta di seluruh negara, melibatkan hampir 600 projek untung.

Kenaikan interim kali ini dipengaruhi oleh peningkatan prestasi keseluruhan Projek-projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P) Felcra Berhad yang memberangsangkan iaitu sebanyak RM218 juta.

Manakala menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Korporat Felcra Berhad, komitmen Felcra untuk meningkatkan hasil ladang yang berjaya mempengaruhi kenaikan hasil sebanyak 21 peratus atau hampir dua metrik tan per hektar berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023.

“Selain itu, kos operasi ladang telah dapat dikurangkan sehingga 13.5 peratus per hektar melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif penjimatan kos operasi yang strategik dan efektif serta inisiatif ini turut berjaya meningkatkan pendapatan per hektar ladang sebanyak 31 peratus.

“Peningkatkan agihan keuntungan ini turut dipengaruhi oleh peningkatan harga komoditi minyak sawit mentah yang merekodkan kenaikan 20 peratus atau hampir RM4,000 berbanding tahun sebelumnya,” kata kenyataan itu. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.