‘Rombongan BN Ke China Untuk Pendedahan Teknologi Bukan Ideologi’ – Ahmad Maslan

KLUANG, 27 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan Perikatan Nasional (PN) sebagai ketandusan isu dan cetek apabila membuat laporan polis membabitkan rombongan pemimpin UMNO/Barisan Nasional (BN) ke China dengan fahaman komunisme.

Menurut beliau ia tiada kaitan dengan fahaman tersebut sebaliknya rombongan tersebut adalah untuk melihat sendiri kemahiran teknologi negara tersebut.

“Itu yang mereka silap kita nak teknologi bukan nak ideologinya, contoh sektor pembinaan di negara China, mereka membina sebuah rumah 10 tingkat dalam masa 28 jam.

“Kemudian membina satu bangunan 57 tingkat dalam masa 19 hari. Mereka juga bercadang nak membina bangunan paling tinggi di dunia 220 tingkat dalam masa 3 bulan.

“Mereka juga telah membina hospital COVID-19 dalam masa dua bulan siap yang lengkap segalanya, sedangkan orang membina bertahun tak siap satu hospital. Mereka berjaya menukarkan negaranya daripada negara miskin kepada negara perdagangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas melakukan ziarah kasih ke rumah-rumah di Kampung Melayu 2, Mahkota mengunjungi golongan pesara dan warga emas.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya dalam pada itu berkata, China yang juga rakan niaga terbesar negara adalah kuasa ekonomi dunia malah rombongan wakil UMNO ke negara tersebut juga telah dilakukan sudah beberapa kali.

Katanya lagi, sepanjang tempoh tersebut tiada lagi daripada kelompok tersebut yang terpengaruh dengan fahaman komunisme.

“Wakil daripada UMNO ni dah banyak kali pergi tak ada seorang pun jadi komunis, kerana yang kita nak ialah teknologi bukan ideologinya.

“Kita ingin belajar ada hadis, walaupun ada kata hadis daif tapi apa yang kita nak tahu daripada itu ialah kenyataan bahawa tuntulah ilmu Allah sampai ke negara China.

“Malah saya pernah pergi, satu kubur lama Sa’ad Ibn Waqas di Guangzhou yang merupakan salah salah seorang sahabat Nabi Muhammad saw meninggal dunia di situ.

“Bagaimana sahabat Nabi boleh sampai daripada Semenanjung Saudi ke negara China dan meninggal di situ jadi segalanya ialah pengajaran,” ujar beliau.

Sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia dan China, BN berkunjung ke negara berkenaan dengan pelbagai program yang diatur oleh pihak yang berkaitan khususnya Parti Komunis China (CPC).

Delegasi BN diketuai Ahli Majliis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan antara yang mengikuti delegasi tersebut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam; Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO selain wakil parti komponen BN termasuk rakan-rakan BN yang lain.

Terdahulu PN membuat laporan polis terhadap Puad Zarkashi yang membawa pemimpin parti itu ke China untuk lawatan sambil belajar yang kononnya bimbang bahawa fahaman komunisme akan menular di kalangan ahli UMNO. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.