PRK: Syed Hussien Seru Mahkota Terjemahkan Sokongan Melalui Kotak Undi
KLUANG, 27 Sept – Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah sekali lagi menyeru pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota untuk memberikan sokongan kepadanya dengan menterjemahkan undian pada esok.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang berkata, ia penting bagi memastikan pembangunan di Mahkota terus dipelihara di bawah dukungan kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Saya menyeru dan merayu kepada anda semua untuk memberi ruang dan peluang untuk sama-sama saya mengetuai jentera BN dan juga Kerajaan Perpaduan bagi mengurus takbir masyarakat di sini.
“Sedar saya masih muda tetapi yakin dengan barisan kepimpinan yang ada, saya percaya akan buat yang terbaik demi Mahkota ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Tautan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Tanah Runtuh, Kluang.
Syed Hussien bagaimanapun mengakui mustahil dalam tempoh berkempen ini untuk menemui keseluruhan pengundi Mahkota, namun mengharapkan proses pengundian pada Sabtu ini berjalan sebaiknya.
Beliau malah berjanji untuk menemui masyarakat DUN Mahkota sekiranya diberi kepercayaan untuk memperolehi mandat tersebut pada esok.
“Apapun untuk hendak mencapai kunjungan ataupun menemui pengundi bagi 66,500 ini bukanlah perkara yang mudah.
“Sampaikan salam saya kepada sesiapa sahaja yang jumpa dengan pengundi dan insya-Allah sekiranya diberi peluang, saya akan cuba sedaya upaya untuk bertemu seberapa ramai pengundi yang ada di Mahkota ini.
“Apapun saya mendoakan agar kita semua diberi kesihatan, kekuatan untuk sama-sama bertemu nanti pada esok,“ ujar beliau.
PRK ini menyaksikan Syed Hussien, 40, yang merupakan Ketua Pemuda Penerangan UMNO Johor menjadi taruhan BN.
Beliau yang juga Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian aktif dalam pelbagai kegiatan belia serta kesukarelawanan menerusi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mampu bertutur dalam bahasa Mandarin.
PRK ini akan berdepan saingan dua penjuru dengan calon Perikatan Nasional, bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut selepas mantan ADUN Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia pada Ogos lalu. – UMNO Online