Tak Boleh ‘Over Confident’, Buat Kerja Sampai Saat Akhir Menangkan BN – Mohd Razlan
KLUANG, 26 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii menyeru anggota jentera termasuk para pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota agar tidak berasa selesa dengan suasana Pilihan Raya Kecil (PRK) yang positif kepada calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah.
Katanya, walaupun suasana kempen berpihak kepada BN tetapi semua pihak khususnya jentera parti perlu melaksanakan kerja sehingga ke saat yang terakhir bagi memenangkan BN.
“Kita tak boleh ‘over confident’, perlu buat kerja sampai 28 Sept dan menangkan BN kerana kita telah melihat bagaimana pihak lawan di Nenggiri yang sangat yakin untuk menang tapi akhirnya tewas, maka kita ambil itu sebagai tauladan iaitu terus bekerja dan jangan rasa selesa,” katanya.
Ujar beliau, amat rugi sekiranya pengundi di DUN Nenggiri menolak calon BN sedangkan tawaran yang diberi amat baik berbanding dengan calon pihak lawan.
“Mereka tak ada calon pelapis sedangkan berbeza dengan UMNO yang ramai mempunyai calon-calon berpengalaman dari pelbagai peringkat.
“Mereka tidak ada alasan lain selain memainkan isu bagi memburukkan BN. Sebenarnya tak perlulah saling memburukkan mana-mana pihak.
“Kita mesti berkempen secara berhemah dan jangan guris hati mana-mana pihak pun, tiap undi adalah sangat penting dan apa yang ditawarkan oleh BN adalah apa yang kita boleh lakukan, fokus ialah bagi bantu selesaikan masalah rakyat,” ujarnya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata demikian dalam sesi podcast #HitamPutihKelabu hasil alternatif daripada Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan malam tadi melalui laman Facebook UMNO Online sempena PRK DUN Mahkota.
Ujar Razlan, peranan sebagai jentera adalah perlu terangkan bahawa dalam Negeri Johor ini ada ekonomi yang baik dan kestabilan yang mantap maka sekiranya tak menangkan DUN ini ia akan beri signal yang tidak baik kepada orang luar.
“Kita perlu menangkan DUN mahkota dan semua perlu ambil peranan. Mengundi adalah satu tanggungjawab dan jangan sia-siakan. Jangan rugikan undi anda dengan mengundi calon pihak lawan.
“Saya juga harapkan jentera-jentera yang turun ke sini buat kerja sehabis baik dan ceritakan semua yang baik-baik, kebaikan kepada rakyat tentang apa yang berlaku, apa nikmat yang kita peroleh dan pentingnya rerus sokong BN, menangkan Mahkota dan tunjukkan signal yang baik kepada semua,” katanya lagi.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.
Pada pilihan raya negeri sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan. – UMNO Online