Kekalkan Momentum Kemenangan Nenggiri Di Mahkota, Penyuntik Semangat UMNO/BN Sabah Hadapi PRN

KLUANG, 26 Sept – Gelombang atau momentum kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan insya-Allah di Mahkota ini bakal dibawa untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 di Sabah akan datang.

Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kemenangan bagi kedua-dua PRK ini membawa imej positif kepada UMNO/BN pulih dan terus bangkit selaras dengan transformasi yang dilakukan oleh UMNO termasuklah membuka peluang kepada golongan muda diketengahkan sebagai calon.

 

“Kejayaan BN di PRK Nenggiri dan menyusul PRK DUN Mahkota (insya-Allah) sememangnya boleh meningkatkan moral bagi Kerajaan Perpaduan dengan menunjukkan keberkesanan gabungan mereka dan keupayaan untuk menang di kawasan yang mencabar.

“Dalam masa yang sama bagi kami UMNO/BN Sabah kejayaan BN dalam dua PRK kali ini turut memberikan anjakan paradigma untuk kami lebih yakin dan bersemangat menghadapi PRN Ke-17 di Sabah akan datang,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Jalinan Kasih di Taman Matahari PDM Kampung Tengah dekat sini malam tadi.

Hadir sama calon BN Syed Hussien Syed Abdullah, Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafray Arifin, dan Bendahari UMNO Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said.

Menurut Bung yang juga Pengerusi BN Sabah, kemenangan besar BN di PRK Nenggiri pada 17 Ogos lalu dan menyusul di PRK DUN Mahkota ini memberikan momentum positif kepada jentera parti BN di seluruh negara.

“Bagaimanapun katanya, berbeza dengan Nenggiri, strategi seperti ini tidak boleh dibawa oleh UMNO Sabah dalam PRN Ke-17 akan datang kerana di Sabah kita mempunyai banyak isu besar terutamanya isu-isu berkaitan penyediaan prasarana asas jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan isu kemiskinan.

“Hakikatnya Nenggiri dan Mahkota itu berbeza tetapi momentum kejayaan UMNO/BN di Nenggiri dan Mahkota ini boleh dibawa ke Sabah dan digunakan oleh UMNO Sabah,” katanya.

Ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata peluang untuk BN memenangi PRK DUN Mahkota begitu cerah berdasarkan sambutan rakyat kepada calon BN semasa gerak kerja kempen yang dijalankan oleh jentera parti.

“Di atas kertas sebenarnya BN sudah dilihat boleh mencapai kemenangan untuk PRK kali ini, bagaimanapun perkiraan awal ini tidak seharusnya melalaikan jentera parti untuk terus mendekati pengundi sehingga ke saat akhir pengundian,” katanya.

Menurut Bung pemilihan Syed Hussien sebagai calon BN kali ini lebih dekat dengan pengundi muda antara penyumbang terbesar undi bagi mempastikan kemenangan BN.

Selain itu menurut Bung, pentadbiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang kukuh dan stabil tanpa isu besar, memberikan keyakinan kepada pengundi di DUN Mahkota bahawa wakil BN adalah pilihan yang tepat untuk terus memacu pembangunan di Johor.

“Pengundi tempatan melihat kestabilan pentadbiran sebagai asas kepada pilihan mereka.

“Tidak ada sebab kenapa pengundi di DUN Mahkota menolak BN… banyak perubahan dari segi pembangunan dan kesejahteraan rakyat telah diberikan perhatian oleh kerajaan negeri di bawah kepimpinan Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor,” katanya. – UMNO ONLINE

Oleh: Jaafar Abd Wahid

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit