Tiada Kaitan Fahaman Komunisme Dengan Delegasi BN Ke China – Ahmad Zahid

KLUANG, 26 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan Perikatan Nasional (PN), yang mendakwa delegasi Barisan Nasional (BN) yang berada di China ada berkait dengan fahaman komunisme.

Katanya, tiada doktrinisasi ideologi dilakukan kerana ia bertujuan memberi pendedahan berkenaan kemajuan-kemajuan yang dicapai negara berkenaan.

“Delegasi BN ini berada di negara China adalah atas jemputan begitu juga kita dalam Perhimpunan Agung UMNO jemput semua parti-parti politik, sahabat daripada seluruh dunia untuk datang.

“Ini adalah kesempatan untuk dibawa sebagai satu pengalaman dan pendedahan kepada mereka,” ujar beliau.

Beliau dalam pada itu turut sama memberi jaminan bahawa tiada penyebaran ideologi komunisme berlaku kerana UMNO/BN tetap berpegang kepada Islam dan semangat nasionalis.

“Sebagai parti berasaskan kepada rumpun Melayu di mana kita juga mempercayai ahli-ahli di Sabah bahawa Perlembagaan parti kita pertahankan.

“Jangan ada tuduhan yang mengatakan bahawa akan ada pengaruh yang masuk ke dalam kepimpinan parti kita. Saya beri jaminan ianya tidak akan berlaku,” ujar beliau.

Sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia dan China, BN berkunjung ke negara berkenaan dengan pelbagai program yang diatur oleh pihak yang berkaitan khususnya Parti Komunis China (CPC).

Delegasi BN diketuai Ahli Majliis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan antara yang mengikuti delegasi tersebut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam; Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO selain wakil parti komponen BN termasuk rakan-rakan BN yang lain.

Terdahulu PN membuat laporan polis terhadap Mohd Puad yang membawa pemimpin parti ke China untuk lawatan sambil belajar yang kononnya bimbang bahawa fahaman komunisme akan menular dalam kalangan ahli UMNO. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.