PN Cukup Terdesak… Tidak Pelik Delegasi BN Ke China Jadi Bahan Tohmahan

KUNMING, 26 Sept – Ketua Penerangan Puteri UMNO, Shamellya Norazizi melihat Perikatan Nasional (PN) cukup terdesak untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Makhota, apabila menimbulkan pelbagai tohmahan termasuklah menjadikan kunjungan delegasi Barisan Nasional (BN) ke China sebagai bahan kempen dalam ucapan.

Menurut beliau delegasi BN yang kini berada di China adalah lawatan kerja rasmi sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China.

“Pertukaran perwakilan yang telah dipersetujui sejak 2010 ini pernah ditamatkan pada 2018 selepas BN kalah pada PRU-14 yang lepas. Kini, lawatan kerja rasmi ini diteruskan bagi menjalinkan hubungan berdasarkan prinsip kemerdekaan, kesaksamaan yang lengkap, saling menghormati dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman masing-masing, serta bekerjasama demi memajukan hubungan kerjasama strategik Malaysia-China.

“Dalam MOU tersebut, kedua-dua negara berpendapat bahawa pertukaran antara pemimpin politik muda harus diberi keutamaan dalam pertukaran parti-ke-parti (party-to-party) untuk mendalami secara komprehensif mengenai pembangunan ekonomi dan sosial nasional masing-masing, dan untuk meningkatkan persahabatan antara generasi muda kedua-dua negara,” katanya kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi perbincangan yang diadakan termasuklah, pengurusan organisasi politik antara dua parti, penggunaan media dan penggunaan teknologi moden (pengurusan krisis), pembaharuan ekonomi dan kepelbagaian etnik dan produk halal.

“Lawatan rasmi ini turut diwakili seramai 40 orang dan jadual program seminar yang amat padat memberikan ruang kepada delegasi BN bertukar pandangan berkaitan ekonomi dan polisi dua negara.”

Bidas beliau, pertukaran perwakilan ini bukanlah untuk melebarkan doktrin komunis melalui UMNO.

“Sudah-sudahlah membuat fitnah dan terdesak sebegini rupa. Baik saudara Chegu Bard fokus terangkan kepada calon apa itu Gen Z dan keutamaan beliau sebagai calon untuk rakyat di DUN Mahkota. Jangan sibuk kain orang, kain sendiri terkoyak rabak,” tambahnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.